
SHAH ALAM: Belanjawan Selangor 2026 disifatkan masih terperangkap dalam kerangka lama yang mementingkan pertumbuhan ekonomi makro dan projek fizikal, namun gagal menangani isu agihan kekayaan saksama khususnya kepada golongan 40 peratus terbawah (B40).
Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin (PN-Sungai Burong) berkata, walaupun pendapatan negeri meningkat 61 peratus dalam tempoh 10 tahun, majoriti hasil tersebut ditarik oleh ekonomi metropolis bernilai tinggi, manakala golongan B40 hanya menerima 21 peratus daripada pendapatan negeri.
“Selangor hari ini bukan kurang pertumbuhan, tetapi Selangor kurang agihan berkualiti. Kita tidak boleh mengurus Selangor seperti negara maju dari sudut pertumbuhan, sedangkan agihan kita masih seperti negara membangun.
“Bajet 2026 memberi penekanan kepada teknologi tinggi, dark fiber, dana semikonduktor dan misi pelaburan luar negara yang memacu pertumbuhan golongan elit, tetapi tidak mengubah struktur agihan kepada rakyat terbawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026 pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.
Menurut Dr Mohd Zamri, belanjawan kali ini masih menggunakan lensa geografi seperti infrastruktur dan projek digital, sedangkan jurang sebenar adalah berdasarkan desil pendapatan (D1 hingga D4).
Jelasnya, golongan marhaen yang paling terhimpit bukan hanya berada di luar bandar, sebaliknya wujud dalam kuantiti besar di kawasan kos sara hidup tinggi seperti Petaling Jaya, Gombak dan Sepang.
“Tiada petunjuk prestasi utama (KPI) khusus seperti peningkatan pendapatan B40 per daerah atau mobiliti sosial dalam belanjawan ini. Bajet masih fokus ‘berapa dibelanja’, bukan ‘siapa yang betul-betul naik pendapatan’.
“Selagi bajet tidak mengukur impak kepada golongan ini, Selangor akan terus melahirkan jurang dua kelajuan,” tegasnya.
Beliau turut menyentuh mengenai kerentanan isi rumah di mana 39.3 peratus keluarga bergantung kepada satu pencari nafkah, manakala 66.8 peratus struktur pendapatan bergantung kepada gaji semata-mata tanpa pemilikan aset.
Menyentuh pembangunan luar bandar, Mohd Zamri mengkritik pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) yang masih bersifat generik dan tidak disusun mengikut sektor bernilai tinggi seperti agroteknologi, logistik, e-dagang dan Sistem Binaan Berindustri (IBS).
“Pengalaman 10 tahun membuktikan projek fizikal semata-mata tidak menaikkan pendapatan rakyat di daerah pinggiran. Kita tidak boleh ulangi formula lama dengan membina lebih banyak fasiliti tanpa strategi ekonomi yang jitu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu tempatan di Sungai Burong termasuk nasib petani yang sering dijadikan ‘bahan uji kaji’ bagi penggunaan baja, racun dan variasi padi baharu tanpa bimbingan berterusan.
Lebih membimbangkan katanya, wujud fenomena warga asing yang kini bukan sekadar mengambil upah, malah menjadi penyewa tanah sawah sehingga menyebabkan kadar sewa meningkat dan menekan petani tempatan.
“Implikasinya sewa tanah meningkat kerana warga asing menawarkan harga lebih tinggi. Saya berharap kebanjiran ini dikawal sebelum penghasilan beras di Selangor dikuasai sepenuhnya oleh mereka,” katanya lagi.
Beliau juga mendesak agar petani tanaman kontan di tanah gambut tidak dinafikan hak menerima input pertanian walaupun menukar tanaman daripada padi, kerana mereka turut menyumbang kepada sekuriti makanan negeri. – HARAKAHDAILY 19/11/2025











