Kasman tidak asing bagi masyarakat Kunak

- Advertisement -

LAHAD DATU: Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Andansura Rabu berkata, beliau dimaklumkan maklum balas dan penerimaan masyarakat terhadap calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Kunak, Kasman Karate sangat baik.

- Advertisement -

Menurutnya, PAS Pahang hantar kekuatan bantu kempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Katanya, PAS Pahang dan Negeri Sembilan ditugaskan untuk membantu gerak kerja di DUN Kunak di bawah Parlimen Lahad Datu. (Foto atas)

“Saya ke sini dua hari ini bagi melihat perjalanan gerak kerja dan membantu kempen calon PERIKATAN NASIONAL, Saudara Kasman Karate,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Katanya, beliau tiba sekitar jam 8.30 malam tadi selepas penerbangan tertangguh sejam dan terus ke Bilik Operasi sebaik tiba bagi mendapatkan butiran gerak kerja serta penugasan untuk hari ini.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan maklum balas dan penerimaan masyarakat sangat baik,” ujarnya yang juga ADUN Beserah.

Apatah lagi, tambahnya calon yang diketengahkan merupakan personaliti yang tidak asing dalam kalangan masyarakat setempat.

Namun, ujarnya masih banyak yang perlu dilakukan bagi memberi saingan kepada parti-parti lain yang sudah tentu memiliki kekuatan dan kelebihan masing-masing yang lebih ketara.

“Mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan kami dan membawa kebaikan kepada masyarakat di sini.

“Mohon doa daripada semua. Kasi Bagus Sabah!” ujar Andansura lagi.

Kasman dalam satu kenyataan di laman sosialnya, sebelum ini menyatakan beliau adalah anak jati Kunak yang dibesarkan dalam kehidupan kampung penuh nilai kebersamaan.

Menurutnya, bermula sebagai pendidik hingga kini memimpin sebagai Guru Besar SRITI Al-Falah, beliau belajar tentang sabar, amanah dan memahami keperluan setiap keluarga.

Tambahnya, pengalaman sebagai Ahli Majlis Daerah Kunak dan Pemaju Mukim memberi peluang kepadanya untuk turun padang mendengar sendiri keperluan masyarakat serta memastikan pembangunan sampai ke kampung-kampung.

Pada PRN kali ini, beliau berdepan saingan daripada calon GRS, PIS, PPRS, BN dan Warisan.

DUN Kunak mempunyai 24,854 pengundi berdaftar yang akan memilih wakil rakyat pada PRN Sabah ke-17 yang berlangsung 29 November ini. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -