
PUTATAN: “Hari ini, saya kembali sebagai anak tempatan yang mahu berkhidmat,” kata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Petagas, Dr Afifi Saif.
Menurutnya, Petagas bukan sekadar tempat tinggal tetapi di situlah beliau dibesarkan, bersekolah dan mula mengenal erti hidup.
Justeru, ujarnya beliau kembali sebagai anak tempatan yang mahu berkhidmat.
Dr Afifi menambah, beliau mahu membina Putatan yang lebih baik, bersama rakyat yang dikasihi.
“Saya percaya, Putatan yang membentuk saya dulu. Kini tiba masanya saya pula membentuk masa depan Putatan bersama anda semua.
“Urang Petagas, jangan lupa undi kamu untuk saya,” ujarnya lagi.
Menerusi laman sosial, beliau turut menitipkan bahawa kesihatan bukan hanya tentang ubat, tetapi tentang jiwa yang tenang dan hati yang lapang.
“Ambil masa untuk bertenang, kurangkan beban fikiran. Syukur itu penawar walau kecil, ia cukup untuk kuatkan langkah kita.
“Ingat, tubuh sihat bermula dari hati yang damai,” ujarnya yang berdepan dengan sembilan calon bagi DUN Petagas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini yang mempunyai 20,116 pengundi.
Beliau yang berasal dari Kampung Ulu Putatan adalah Orang Bajau Dusun dan belajar di tadika Sekolah Agama Islam yang terletak di Masjid Jamek, Putatan.
Dr Afifi yang belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan di Sacred Heart, Kota Kinabalu sebelah pagi manakala pada petangnya menyambung pula di Sekolah Agama Islam, Putatan.
Semasa Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5 beliau belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Inanam, seterusnya menyambung pelajaran di Matrikulasi, Labuan.
Beliau selanjutnya belajar peringkat tinggi dalam bidang perubatan di Crimea State Medical University, Ukraine.
Dr Afifi pernah berkhidmat di Hospital Tawau selama lima tahun sebelum letak jawatan dan menjadi pengasas rangkaian Klinik Dr Afifi yang sehingga kini mempunyai empat cawangan iaitu di Putatan (Petagas), Ranau, Kinabatangan dan Papar. – HARAKAHDAILY 18/11/2025





















