
FENOMENA mahasiswa meraikan minggu orientasi dengan aktiviti hiburan tanpa nilai ilmu semakin membimbangkan. Dalam suasana universiti hari ini, gejala hedonisme dan kebebasan nilai semakin menular dalam kalangan mahasiswa. Pusat ilmu yang sepatutnya menjadi medan tarbiah dan pencarian makna kini berubah menjadi pentas hiburan, peragaan gaya hidup dan medan mencari populariti. Segelintir mahasiswa lebih mengenali artis berbanding tokoh ulama, lebih ghairah menonton konsert daripada menghadiri wacana ilmu. Fenomena ini bukan sekadar masalah moral, tetapi mencerminkan krisis identiti Muslim dan keruntuhan paradigma sebagai penuntut ilmu sejati. Dalam Islam, ilmu bukan sekadar alat untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi jalan menuju pengenalan terhadap Allah. Penuntut ilmu seharusnya tunduk, beradab dan berakhlak mulia. Namun apabila budaya hedonisme meresap ke ruang kampus, nilai-nilai ini kian terhakis. Kita menyaksikan perubahan niat dari “menuntut ilmu kerana Allah” kepada “menuntut ilmu demi status dan keseronokan dunia”.
Imam al-Ghazali menyebut kerosakan niat dalam menuntut ilmu sebagai tanda hilangnya keberkatan ilmu. Tanpa disiplin spiritual, ilmu tidak lagi membina manusia, sebaliknya meruntuhkan nilai diri. Inilah antara tanda kegagalan sistem pendidikan apabila ilmu tidak lagi membentuk insan yang berjiwa hamba dan khalifah. Pandangan hidup Islam yang berasaskan tauhid kini digantikan dengan pandangan hidup sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan. Seperti ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, “sekularisme akhirnya melepaskan akal daripada bimbingan wahyu, menjadikan manusia menilai ilmu sebagai alat duniawi, bukan jalan menuju Tuhan”.
Kerosakan paradigma ini melahirkan generasi yang hilang makna hidup. Mereka mengejar kecemerlangan akademik tanpa jiwa, kemewahan tanpa nilai, dan kemajuan tanpa arah. Sedangkan pembangunan insan dalam Islam ialah keseimbangan antara akal, roh dan jasad bukan semata-mata kecekapan teknikal. Universiti sepatutnya menjadi kilang pembentukan manusia, namun sebahagiannya kini menjadi pusat pengeluaran tenaga kerja tanpa roh Islam. Mahasiswa tidak lagi digerakkan oleh semangat ilmu dan dakwah, sebaliknya dibentuk oleh arus hiburan dan keselesaan. Inilah permulaan keruntuhan umat, kerana apabila generasi berilmu tidak berjiwa Islam, maka hilanglah fungsi ilmu sebagai cahaya hidayah. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Surah al-Ra‘d: 11)
Kita tidak memerlukan lebih banyak profesional semata-mata, tetapi lebih banyak profesional yang beriman. Mahasiswa bukan hanya perlu pintar, tetapi sedar bahawa setiap ilmu adalah amanah untuk membina tamadun berasaskan iman. Kini tiba masanya kita mengembalikan roh Islam ke dalam sistem pendidikan. Hedonisme mesti digantikan dengan hiburan yang mendidik, dan kebebasan nilai mesti diimbangi dengan adab. Jalan penyelesaian bukan menolak hiburan, tetapi memurnikannya dengan makna. Universiti mesti kembali menjadi taman ilmu yang subur dengan akal dan akhlak, bukan pentas glamor tanpa arah. Menjadi penuntut ilmu bererti menjadi hamba yang mencari reda Allah bukan manusia yang mencari kemasyhuran melalui dunia.
Ahmad Shafiq bin Sari
Mahasiswa Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Dan merupakan:
Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

















