
PUTRAJAYA: “Adakah suara kami ini seolah-olah tidak penting sedangkan kami memperjuangkan perkara yang benar?”
Itu persoalan yang diutarakan oleh Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, Imran Sulaiman berhubung isu cadangan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah dana pelaburan swasta Amerika Syarikat yang dikuasai oleh syarikat pelaburan multinasional AS, BlackRock.
Menurut Imran, kerajaan tidak sepatutnya menjual sebahagian saham MAHB kepada GIP yang dikuasai BlackRock yang jelas merupakan syarikat pro-Zionis, memandangkan BlackRock telah banyak melabur dalam syarikat-syarikat pembekal senjata kepada Israel seperti Lockheed Martin, Boeing dan General Dynamics.
“Syarikat BlackRock tidak dinafikan mempunyai reputasi yang amat hebat dalam menjaga dana pelabur-pelaburnya.
“Namun, ini tidak bermakna bahawa matlamat menghalalkan sebarang cara, yang mana kerajaan tidak seharusnya melakukan sedemikian,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di hadapan bangunan Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini ketika menyertai program Seruan Serahan Memorandum Bantah Pegangan GIP-BlackRock (Pro-Zionis) terhadap MAHB.
Menurut beliau, BlackRock sendiri telah terlibat secara langsung dalam menyalurkan bantuan dana kepada negara haram Israel itu sendiri.
Tambah beliau, tindakan kerajaan tersebut seolah-olah tidak mempedulikan suara rakyat yang majoritinya bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin itu sendiri.
“Majoriti golongan mahasiswa dan mahasiswi negara ini sendiri pun jelas menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan pada masa yang sama menentang negara haram Israel.
“Bukankah golongan mahasiswa dan mahasiswi sendiri juga memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara ini?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada pihak kerajaan supaya menghentikan penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP memandangkan ia bertentangan dengan kehendak majoriti rakyat negara ini.
Kata beliau, seharusnya nasib rakyat Palestin juga perlu diberikan perhatian setiap kali melakukan sebarang pembangunan ekonomi negara ini.
“Jadi, saya menyertai program Seruan Serahan Memorandum Bantah Pegangan GIP-BlackRock (Pro-Zionis) terhadap MAHB pada hari ini sebagai bukti yang kita sebagai rakyat Malaysia tidak akan sesekali menerima sebarang pelaburan daripada syarikat pro-Zionis,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2024




















