SiswaPAS sedia terima keahlian bukan Islam

Politik harmoni bukan bermakna menghapuskan perbezaan namun bagaimana bentuk pengurusan perbezaan secara matang,
- Advertisement -

POLITIK Malaysia sedang melalui fasa transformasi yang jarang disedari, bukan hanya di pentas pilihan raya tetapi dalam cara generasi muda memaknai keterlibatan sosial dan kepimpinan.

- Advertisement -

Anak muda hari ini bukan sekadar pengundi tetapi mereka adalah agen perubahan yang melihat politik sebagai alat untuk mewujudkan keharmonian, bukan sekadar kemenangan parti.

Dalam konteks ini, SiswaPAS muncul sebagai contoh jelas bagaimana organisasi pelajar politik mula membuka ruang untuk keahlian bukan Islam, selari dengan aspirasi generasi muda yang inklusif.

Pengalaman di lapangan menunjukkan bahawa politik harmoni lahir daripada interaksi sebenar.

Aktiviti yang dianjurkan SiswaPAS seperti ‘hi-tea ‘bersama persatuan Cina di kampus dan program rekreasi seperti ‘hiking’ yang melibatkan masyarakat bukan Muslim membuktikan bahawa kolaborasi lintas komuniti bukan sekadar simbolik tetapi membina hubungan sosial yang kukuh dan mencipta persepsi bahawa perbezaan agama dan budaya boleh menjadi asas kekuatan, bukan halangan.

Sikap terbuka ini juga tercermin dalam data pilihan raya. Statistik PRU15 menunjukkan lebih separuh pengundi muda memilih Perikatan Nasional, manakala dalam kalangan penyokong PAS, hanya 40 peratus adalah ahli berdaftar dan baki 60 peratus datang dari luar.

Dengan kata lain, sokongan sebenar parti ini tidak lagi terikat kepada struktur keahlian tradisional tetapi dipacu oleh kepercayaan terhadap dasar, integriti dan mesej yang dibawa.

Ini menunjukkan generasi muda bukan sahaja bersedia menerima kepelbagaian dalam masyarakat tetapi juga melihat politik secara rasional dan berorientasikan isu sebenar.

Fenomena ini selari dengan evolusi struktur PAS, di mana Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) kini menjadi sayap rasmi yang membolehkan bukan Muslim menjadi ahli bersekutu.

Jumlah ahli DHPP kini mencecah 78,000 orang, membuktikan bahawa sokongan bukan Islam bukanlah fenomena kebetulan tetapi trend yang konsisten.

Bagi SiswaPAS, keterbukaan ini bukan sekadar strategi politik tetapi sebagai satu manifestasi nilai generasi muda yang memahami kepelbagaian Malaysia dan menekankan integriti, kejujuran dan tanggungjawab sosial sebagai asas politik.

Integriti menjadi faktor utama dalam menentukan sokongan generasi muda. Mereka tidak lagi setia kepada parti atau tokoh semata-mata kerana identiti.

Sokongan diberikan kepada pihak yang menunjukkan komitmen terhadap rakyat, transparansi dasar dan kemampuan membina kestabilan sosial.

Politik harmoni bukan bermakna menghapuskan perbezaan namun bagaimana bentuk pengurusan perbezaan secara matang, di mana dialog, tindakan dan dasar membawa manfaat nyata kepada masyarakat majmuk.

Malaysia memerlukan politik yang menyatukan selepas pilihan raya, bukan hanya ketika berkempen.

SiswaPAS menunjukkan bahawa generasi muda sedia memimpin perubahan ini.

Mereka membuka pintu kepada keahlian bukan Islam, membina jalinan sosial yang kukuh dan menuntut politik berasaskan isu serta integriti.

Jika suara dan tindakan mereka dihargai, masa depan politik Malaysia bukan sekadar cera, ia berpotensi menjadi model politik inklusif yang matang dan harmoni.

MUHAMMAD MUNZIR MOHAMMAD NASIR
Pengerusi
Kelab Penyokong Mahasiswa PAS (SiswaPAS)

HARAKAHDAILY 6/2/2026

- Advertisement -