Ekonomi Selangor perlahan, rakyat terbeban kos hidup

- Advertisement -

SHAH ALAM: Peningkatan kos sara hidup mendadak serta kegagalan menyediakan perumahan mampu milik disifatkan sebagai dua isu kritikal yang sedang menghimpit rakyat Selangor ketika ini.

Dato’ Dr Ab Halim Tamuri (PN-Paya Jaras) berkata, kadar inflasi di Selangor pada September 2025 mencatatkan 1.8 peratus, iaitu lebih tinggi berbanding kadar nasional.

​Menurutnya, keadaan ini ditambah burukkan lagi dengan harga rumah yang melambung tinggi sehingga menyukarkan golongan muda dan keluarga baharu untuk memiliki kediaman.

- Advertisement -

​”Laporan The Edge Malaysia pada November 2025 menyebut harga rumah teres dua tingkat di Petaling Jaya telah mencecah RM1 juta, manakala di Shah Alam melebihi RM700,000.

​”Ini jelas membebankan golongan muda yang baru memulakan kehidupan. Gaji yang statik atau kenaikan tahunan yang rendah tidak dapat mengejar kenaikan harga barang dan kos pemilikan rumah,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.

​Dalam perbahasan tersebut, Ab Halim turut membidas peranan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dilihat menyimpang daripada mandat asal penubuhannya pada tahun 1964.

​Tegas beliau, PKNS kini dilihat berlumba-lumba membina kondominium mewah demi keuntungan jangka pendek, sedangkan tanggungjawab hakiki agensi itu adalah menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat.

​”Adakah kini terdapat penyimpangan daripada mandat asal PKNS? Jika ada kesedaran itu, mengapa PKNS kini bertindak seperti GLC lain yang mengejar keuntungan semata-mata?

​”Saya ingin tahu, berapa banyak rumah kos rendah dan mampu milik yang telah PKNS bina sendiri dalam tempoh lima tahun ini untuk golongan berpendapatan rendah, bukannya sekadar usaha sama (JV) dengan pemaju swasta?” soalnya.

​Beliau turut membangkitkan isu penyewa SACC Mall yang teraniaya akibat kelemahan pengurusan anak syarikat PKNS, selain desas-desus perobohan bangunan tersebut yang baru berusia sekitar 20 tahun.

​Menyentuh mengenai prestasi ekonomi, Ab Halim melahirkan kebimbangan terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi Selangor yang semakin perlahan, iaitu daripada 6.3 peratus (2024) kepada jangkaan 5.0 hingga 5.5 peratus bagi tahun 2026.

​Ujarnya, trend penurunan ini bukan sekadar angka, tetapi isyarat kelemahan struktur ekonomi negeri.

​”Adakah model pembangunan ekonomi Selangor terlalu bergantung kepada sektor perkhidmatan dan hartanah yang mempunyai kesan gandaan (multiplier effect) yang rendah?

​”Kerajaan Negeri perlu beralih fokus daripada ‘per kuantiti’ kepada ‘per kualiti dan produktiviti’ dengan menumpukan pelaburan berteknologi tinggi yang mampu menjana gaji lebih baik untuk rakyat,” jelasnya.

​Selain itu, beliau turut mendesak Kerajaan Negeri menyelesaikan isu pengurusan sisa pepejal oleh KDEB Waste Management yang menerima puluhan ribu aduan rakyat.

​”Urusan pengurusan sampah tidak boleh dibebankan dengan tekanan mencari keuntungan. Penilaian prestasi mestilah berasaskan kualiti perkhidmatan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -