
SEPANGGAR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perubahan harus dilakukan segera oleh rakyat Sabah dengan menolak semua pemakan rasuah dan penjual negeri.
Ini, katanya termasuk mereka yang datang meminta kawasan lombong secara meluas sehingga rakyat tempatan tidak menikmati hasil kekayaan sendiri.
Menurutnya, Sabah merupakan negeri yang sangat cantik untuk dilawati dan kaya dengan pelbagai sumber termasuk galian, hasil hutan serta masyarakatnya yang baik, namun mengingatkan rakyat agar tidak terus ditipu berkali-kali oleh pihak yang merosakkan negeri.
“Datang orang yang meminta lombong, datang pula orang yang makan rasuah walaupun sudah ada rakaman video, namun masih menawarkan diri, kita tidak boleh memberikan lagi peluang kepada orang seperti itu.
“Kita mesti menghentikannya sekarang. Peluang seperti ini bukan datang setiap hari, sebaliknya hadir hanya lima tahun sekali.
“Jika kita memberikan lagi mandat itu, kita akan terus merana selama lima tahun sebelum dapat membuat perubahan, dan keadaan itu pasti merugikan,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Kasi Jadi di Padang Taman Sepanggar, kelmarin.
Sanusi menegaskan kekayaan negeri adalah hak rakyat Sabah dan tidak boleh lagi dibiarkan disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang hanya memikirkan keuntungan peribadi tanpa mempedulikan kepentingan negeri.
“Di Kedah, saya setiap hari memikirkan bagaimana mahu memastikan rakyat senang, apakah lagi hak negeri yang belum dipulangkan, apakah lagi kepentingan yang mesti diangkat, dan apakah lagi sumbangan kita kepada negara yang tidak pernah dipedulikan, semua itu kita suarakan, kita sebutkan, dan kita perjuangkan,” ujarnya.
Beliau melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan calon PERIKATAN KARAMBUNAI bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan di Sabah dalam membawa perubahan lebih baik.
Justeru, Sanusi mengingatkan bahawa rakyat Sabah perlu memilih pemimpin yang baik, memahami kehidupan serta keberanian memperjuangkan hak mereka pada Pilihan Raya Negeri ke-17 yang diadakan 29 November ini. – HARAKAHDAILY 18/11/2025











