Air Terjun Janda Mandi bakal jadi tarikan pelancong

Razali (baju biru) ketika melawat Air Terjun Janda Mandi di Bukit Kijal
- Advertisement -

KEMAMAN: Air Terjun Janda Mandi di Kijal yang unik kerana alirannya terus jatuh ke laut bakal dibangunkan sebagai produk pelancongan baharu Terengganu melalui konsep Community Based Tourism (CBT) dengan penglibatan masyarakat setempat.

- Advertisement -

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, keindahan semula jadi air terjun setinggi 80 hingga 90 meter itu berpotensi menjadi tarikan ikonik negeri.

“Air Terjun Janda Mandi ini cukup unik dan hanya ada satu di negara kita. Insya-Allah, kita akan majukan tempat ini bersama penduduk supaya keindahan alamnya terus terpelihara.

“Air Terjun Janda Mandi ini terletak di Bukit Kijal berhampiran Pantai Teluk Kalong. Lokasinya boleh dicapai melalui dua cara, sama ada berjalan kaki merentasi trek bukit atau menaiki bot,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan tersebut di Bukit Kijal kelmarin.

Beliau berkata, lokasi itu boleh dicapai melalui trek bukit, namun pengunjung disaran mendapatkan khidmat penunjuk arah kerana keadaan laluan agak licin dan berbahaya sekiranya bersendirian.

Selain keindahan alam sekitar, Razali berkata air terjun itu turut dikaitkan dengan kisah misteri turun-temurun mengenai seorang wanita yang dilaporkan ghaib selepas mandi di kawasan berkenaan, sekali gus menjadi asal-usul nama Janda Mandi.

“Air terjun ini turut menyimpan kisah misteri turun-temurun. Menurut cerita orang kampung, nama Janda Mandi berasal daripada kisah seorang wanita, isteri kepada nakhoda yang meninggal dunia ketika belayar.

“Wanita itu dikatakan turun mandi di air terjun berkenaan sebelum ghaib secara misteri. Sehingga kini, kisah tersebut kekal menjadi bualan penduduk, malah ada nelayan tempatan mendakwa pernah terlihat kelibat seorang wanita mandi di kawasan itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, keunikan kisah dan alam semulajadi itu mampu menjadikan Janda Mandi sebagai destinasi istimewa dalam kalendar pelancongan Terengganu.

“Pelancongan bukan hanya tentang pemandangan, tetapi juga cerita di sebaliknya. Dengan penglibatan penduduk kampung, saya yakin Janda Mandi akan menjadi tarikan istimewa di Kijal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/8/2025

- Advertisement -