
KUBANG PASU: Kemahiran pengucapan awam bukan sekadar seni berbicara, tetapi senjata berharga yang mampu memperkukuh keyakinan diri anak muda, melatih kepimpinan dan menjadikan mereka lidah penyampai kebenaran kepada umat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah menekankan demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Bengkel Pengucapan Awam: Suara Keyakinan 2025 di Masjid Al Fateh, Tanjung Pauh, Jitra, di sini baru-baru ini.
Bengkel anjuran Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) dengan kerjasama Yayasan Isra’ Malaysia (ISRA’) dan Yayasan Strategik Lestari (YSL) itu berlangsung selama dua hari pada 15 dan 16 Ogos lepas.
Program tersebut menghimpunkan anak muda bersemangat tinggi yang berhasrat meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran berucap di khalayak ramai yang disifatkan Dr Haim sanggup meluangkan masa untuk belajar dan berlatih.
“Yakinlah, kemahiran pengucapan awam ini akan menjadi senjata berharga dalam kehidupan, sama ada di tempat kerja, dalam masyarakat mahupun di pentas kepimpinan,” ujar beliau.
Bekas Naib Canselor itu dalam ucapannya turut menekankan keperluan anak muda memecah tembok rasa malu dan takut yang sering membataskan potensi diri.
“Kita perlu menerobos atau memecah tembok yang kadangkala kita rasa malu dan takut untuk menzahirkan diri sebenar. Hari ini, kita berani untuk melakukannya. Ini satu langkah yang cukup positif buat anak muda.
“Jadi teruskan usaha untuk memperbaiki diri, teruskan usaha mendalami ilmu pengucapan awam agar suatu hari nanti, kalianlah barisan pemimpin dinantikan oleh bangsanya, negerinya, agamanya dan negaranya untuk memimpin umat, insya-Allah,” katanya lagi.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi Negeri, beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan akademik semata-mata tidak menjamin kemampuan seseorang untuk memimpin tanpa kemahiran menyampaikan idea dengan berkesan.
“Ini bukan cerita kita ada ijazah panjang berjala, ini bukan cerita kita punya CGPA 4.0 ataupun cerita tentang kejayaan akademik.
“Ramai di luar sana, kejayaan dia dalam sudut akademik luar biasa, tidak tercapai oleh kita. Tetapi apabila berkomunikasi, dia tidak mampu menyampaikannya dengan meyakinkan.
“Mungkinlah di sini kelebihan kalian akan terjemah melalui program-program sebegini, membolehkan kalianlah menjadi lidah penyampai pesanan bermakna buat umat dan seluruh masyarakat di luar sana, insya-Allah,” jelasnya.
Bekas Johan Pidato dan Syarahan Kebangsaan, Mohamed Nazir Desa antara yang berkongsi ilmu dan bimbingan dalam bengkel berlangsung tersebut.
Program dua hari itu bukan sahaja mengasah kebolehan anak muda tampil di hadapan khalayak, tetapi juga meniup semangat bahawa generasi pelapis mesti berani menyuarakan kebenaran dengan yakin, demi agama, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY 21/8/2025











