Usaha Tani Sumber Kehidupan Pertiwi tema HPPNK

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) pada tahun ini menjadi platform utama mendekatkan masyarakat dengan dunia pertanian, penternakan dan perikanan yang menjadi nadi ekonomi negeri.

- Advertisement -

Program selama lima hari ini bermula secara rasmi pada Rabu, 20 Ogos, dan akan berakhir pada Ahad, 24 Ogos 2025 dengan bertemakan Usaha Tani Sumber Kehidupan Pertiwi.

Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, penganjuran HPPNK merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri menghargai usaha penat lelah para petani, peladang, penternak dan nelayan dalam menyediakan sumber makanan kepada rakyat.

“Selain itu, program ini juga memberi pengiktirafan kepada warga kerja agensi dan jabatan dalam sektor berkenaan, sekali gus meraikan hari yang amat bermakna ini,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri itu.

HPPNK dianjurkan secara dwitahunan dan selari dengan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan yang baru sahaja selesai di Kota Kinabalu pada 1 hingga 3 Ogos lalu.

Pemilihan lokasi dan pengisian acara dirancang supaya rakyat Kelantan khasnya memperoleh impak positif daripada program ini.

“Program HPPNK 2025 menyajikan pelbagai aktiviti menarik bermula seawal jam 9 pagi hingga 10 malam, termasuk pameran agensi, jabatan, syarikat kerajaan dan swasta berkaitan sektor pertanian, penternakan dan perikanan,” ujarnya.

Antara acara utama ialah pameran ternakan di Laman Veterinar dengan lebih 220 ekor lembu sado, promosi dan pemasaran produk, seminar.

Selain juga diadakan taklimat, ceramah, demonstrasi, persembahan kebudayaan, pertandingan hasil pertanian, buah-buahan, sayur-sayuran, industri asas tani, pertandingan memancing, sepak penalti anak muda, mewarna kanak-kanak, pengisian rohani, sukan rakyat serta jamuan rakyat.

Pada majlis yang sama, turut dilancarkan produk makanan ternakan jenama OxyFAT hasil kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad bersama Oxytech Sdn Bhd dan RHB Bank sebagai rakan pembiaya.

Penternak lembu hibrid Naimbif terpilih menerima sumbangan produk OxyFAT premium, manakala peserta pertandingan Lembu Hibrid HPPNK menerima lima tan makanan ternakan sumbangan KPKB dan FGV Integrated Farming.

Dato’ Tuan Saripudin juga berkongsi kejayaan Kelantan mengeluarkan anak lembu betina pertama baka Charolais melalui kaedah straw permanian beradas di Pusat Bio Animal Reproduction Center (BIO-Art), Jeram Pasu, Pasir Puteh.

Kerajaan negeri melalui Kelantan Biotech Corporation menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan dan Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan, Jerantut untuk menghasilkan benih berkualiti.

Anak lembu berkenaan, bernama Marconah, kini berusia hampir dua tahun, dipamerkan khas kepada pengunjung HPPNK 2025. – HARAKAHDAILY 21/8/2025

- Advertisement -