
KUALA NERUS: Penganjur RXZ Member 7.0 menyeru semua peserta supaya mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang program itu berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak pada Jumaat dan Sabtu ini.
Pengarahnya, Mohd Ridzwan Idris berkata, kerjasama peserta amat penting bagi memastikan kelancaran acara yang dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta termasuk dari luar negara, sekali gus menjaga imej program sudah menjadi tumpuan ramai.
“Sama-samalah kita menjaga imej program dan tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, membuat bising dan berlumba sehingga mencemarkan imej program.
“Kita (penganjur) tidak akan campur tangan atas segala bentuk tindakan dan penguatkuasaan yang dijalankan pihak berkuasa,” katanya turut mengingatkan agar tiada poster atau kain rentang berunsur politik dipamerkan.
Beliau berkata, sebagai menghargai peserta, pihaknya akan mengadakan beberapa program sampingan seperti hiburan pentas dengan menampilkan persembahan artis popular, jamuan makan, cabutan bertuah yang menjanjikan hadiah lumayan.
“Kita juga akan mengadakan program kibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, lebih 600 pegawai dan anggota digerakkan sepanjang program yang dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 peserta termasuk dari luar negara.
“Kami memberi jaminan tiada sekatan jalan raya diadakan, justeru itu kami meminta peserta memberi kerjasama baik dengan tidak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Namun rondaan di kawasan penginapan termasuk inap desa tetap dilakukan bagi memastikan keselamatan peserta dan orang awam terjamin,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2025











