
KUALA TERENGGANU: Solat Jumaat bukan sahaja kewajipan agama, malah menjadi lambang kekuatan dan penyatuan umat Islam, kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Beliau berkata, kerajaan negeri mahu memastikan tuntutan ini tidak dipandang ringan oleh lelaki Muslim di Terengganu, sejajar dengan pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016.
Sehubungan itu, beliau berkata, kegagalan hadir menunaikan solat Jumaat walaupun sekali tanpa alasan munasabah boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.
“Hukuman hanya akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir sekiranya individu tetap culas selepas diberi peringatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, bagi meningkatkan kesedaran, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan memasang kain rentang peringatan di masjid seluruh daerah, di samping menjalankan rondaan serta operasi bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.
Tambahnya, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui hasil laporan orang awam, rondaan mahupun operasi bersepadu JHEAT bersama PBT.
“Saya menyeru masyarakat melihat pelaksanaan undang-undang ini sebagai langkah mendidik dan menjaga martabat Islam, khususnya bagi membentuk kefahaman generasi muda,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2025




















