
ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, keberhasilan pendidikan tidak boleh digalas oleh guru sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan bersepadu daripada ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pelbagai institusi.
Baginda bertitah demikian dalam Majlis Haflu Takrim Al Mutafawwiqin Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah Darul Aman yang berlangsung di Dewan Insaniah, Lembaga Zakat Negeri Kedah, di sini semalam.
“Ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pelbagai institusi lain perlu bersama-sama bertanggungjawab menggembleng tenaga bagi membantu melengkapkan tugas guru dan tugas sekolah,” titah baginda.
Dalam titahnya, baginda menekankan bahawa usaha membentuk generasi muda berilmu, berkualiti dan berakhlak mulia tidak boleh hanya diletakkan di bahu warga pendidik semata-mata.
Sultan Sallehuddin turut mengucapkan penghargaan kepada para ibu bapa serta guru yang sentiasa memberikan bimbingan dan sokongan berterusan dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan diri sendiri dan keluarga, tetapi juga mengharumkan nama baik sekolah, institusi dan negeri Kedah,” titah baginda lagi.
Baginda juga mengingatkan para pelajar agar sentiasa berusaha menjadi insan yang berilmu dan bersedia berbakti kepada agama, bangsa serta negara.
“Marilah kita membina budaya kasih sayang, hormat-menghormati dan menolak segala bentuk perbuatan dan amalan yang tidak berakhlak seperti membuli, sama ada secara fizikal atau emosi yang membawa kemudaratan dan masalah kepada semua pihak,” titahnya.
Majlis penganugerahan tersebut diraikan saban tahun bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik pelajar dan guru dalam bidang kurikulum, kokurikulum serta sahsiah.
Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah pelajar cemerlang melibatkan kategori Peperiksaan Al-Syahadah Al-Thanawiyyah Al-Diniah (PSD), Peperiksaan Al-Syahadah Al-Thanawiyyah Lit-Tahfiz (PST), Peperiksaan Syahadah Nihaiyyah (PSN), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Selain itu, Anugerah Tokoh Hal Ehwal Murid, Tokoh Kokurikulum serta Anugerah Khas Pencapaian Kokurikulum turut disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap sahsiah unggul, kepimpinan dan komitmen pelajar.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali serta Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang serta Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah.
Juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat danSetiausaha Lembaga Maktab Mahmud, Jusrianuar Jamarudin serta Ahli-ahli Lembaga Maktab Mahmud. – HARAKAHDAILY 20/8/2025











