
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menzahirkan solidariti penuh bersama Ketua Armada BERSATU, Muhammad Hilman Idham, dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang berdepan pertuduhan oleh Jabatan Peguam Negara.
Ketuanya, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, tindakan itu dilihat sebagai satu bentuk penyekatan kebebasan bersuara serta bercanggah dengan semangat demokrasi serta keterbukaan seharusnya menjadi asas kepada kerajaan yang mendakwa menjunjung prinsip reformasi.
Katanya, kritikan yang dizahirkan oleh tokoh politik dan anak muda berkenaan tidak sepatutnya dianggap ancaman, sebaliknya manifestasi rasa tanggungjawab terhadap kedaulatan negara serta pertahanan Perlembagaan Persekutuan.
“(Langkah) mengheret mereka ke mahkamah hanya menunjukkan sikap tidak toleran terhadap suara rakyat, malah menggambarkan kerajaan lebih selesa menggunakan intimidasi undang-undang daripada berhujah secara matang,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, kerajaan seharusnya mendengar dengan teliti setiap kritikan dan keprihatinan lahir daripada suara rakyat, khususnya anak muda yang semakin prihatin terhadap isu negara.
Beliau menegaskan bahawa menyekat kebebasan bersuara hanya akan mencemarkan nama baik kerajaan Madani, kerana demokrasi hanya akan subur apabila rakyat diberikan ruang bersuara secara bebas.
“Dewan Pemuda PAS Malaysia berdiri teguh bersama tokoh politik dan anak muda yang dizalimi melalui pertuduhan ini.
“Solidariti kami adalah tanda kebersamaan dalam menegakkan demokrasi, memperjuangkan kebebasan bersuara dan memastikan suara anak muda terus didengari demi masa depan negara yang lebih adil serta terbuka,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2025











