BSPT bantu ringan beban keluarga pesakit terlantar

- Advertisement -

MERBOK: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad turun padang menyantuni lima rumah pesakit terlantar, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas di sekitar Tanjung Dawai, semalam.

- Advertisement -

Lawatan berkenaan bertujuan menyerahkan Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar (BSPT) yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Kedah bagi membantu meringankan beban pesakit kronik serta ahli keluarga yang menjaga mereka.

Menurut Halimaton, BSPT menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM500 secara sekali gus kepada pesakit atau penjaga mereka sebagai bentuk keprihatinan kerajaan negeri.

“Apabila ada ahli keluarga yang sakit terlantar, banyak pengorbanan yang perlu dibuat antaranya masa, tenaga, wang ringgit bahkan kesabaran ahli keluarga.

“Sokongan keluarga amat penting bagi memastikan pesakit terus tabah menghadapi ujian,” katanya yang dalam lawatan itu juga Baitulmal Negeri Kedah turut menyampaikan sumbangan khas sebanyak RM1,000 seorang kepada pesakit terlibat.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah yang sentiasa membuat pemantauan bulanan terhadap penyaluran bantuan kepada golongan sasaran, selain Lembaga Zakat Negeri Kedah serta Majlis Agama Islam Negeri Kedah turut menyalurkan sumbangan berdasarkan keperluan pesakit.

“Kolaborasi antara agensi sangat penting demi memastikan rakyat negeri Kedah terbela. Setiap pihak ada peranan masing-masing, dan kerjasama ini memberi kesan besar kepada kualiti hidup rakyat,” ujar beliau.

Turut hadir dalam program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali dan Timbalan Pengarah JKM Kedah, Nor Asikin Ibrahim serta wakil Lembaga Zakat Negeri Kedah; Majlis Agama Islam Negeri Kedah serta wakil Baitulmal Negeri Kedah.

Halimaton yang juga ADUN Bukit Kayu Hitam menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap kepentingan kesihatan dan penjagaan kualiti hidup.

“Kesihatan adalah nikmat yang amat besar. Marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menjaga kesihatan serta kualiti hidup kita dengan sebaiknya,” katanya. – *HARAKAHDAILY 19/8/2025*

- Advertisement -