
MARANG: Terengganu menerima satu bot peronda baharu berkuasa tinggi yang diserahkan Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Perikanan di sini bagi memperkukuh penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata bot sepanjang 13 meter dengan enjin 900 kuasa kuda itu adalah yang terbesar dimiliki jabatan berkenaan setakat ini.
Menurutnya, ia merupakan peningkatan ketara berbanding bot peronda sedia ada yang hanya bersaiz sekitar 10 meter dan kurang berkuasa.
“Dengan saiz bot yang lebih besar ini, ia memberi kelebihan kepada kita untuk memperkukuh penguatkuasaan Akta Perikanan 1985, khususnya di perairan Terengganu yang amat luas sehingga mencecah 87,000 kilometer persegi termasuk kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE),” katanya.
Beliau memberitahu demikian ketika ditemui selepas program Melabuh Tukun Tiruan Penghalang Pukat Tunda 2025, di perairan Jambu Bongkok, di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Adnan Hussain, bersama pegawai kanan Jabatan Perikanan termasuk Pengarah Perikanan Negeri Selangor.
Menurutnya, aset baharu itu penting memandangkan keluasan perairan Terengganu mencecah 87,000 kilometer persegi, sekali gus berdepan pelbagai ancaman termasuk pencerobohan nelayan asing dari Vietnam serta bot pukat tunda dari negeri jiran.
“Jadi aset yang cekap amat diperlukan bagi menjamin keselamatan perairan serta melindungi khazanah laut negeri. Kita sering berdepan ancaman nelayan asing, terutamanya dari Vietnam.
“Malah kita turut berhadapan pencerobohan bot pukat tunda dari negeri jiran yang sering melanggar zon tangkapan nelayan Terengganu. Kebanyakan bot berkenaan ditahan ketika melakukan aktiviti pukat tunda hanya enam hingga tujuh batu nautika dari pesisir pantai,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2025




















