18 unit tukun tiruan berjaya dilabuh di Jambu Bongkok

- Advertisement -

MARANG: Sebanyak 18 unit tukun tiruan kuboid juvenil berjaya dilabuhkan di perairan Jambu Bongkok, di sini sebagai siri pertama program Melabuh Tukun Tiruan Penghalang Pukat Tunda 2025, semalam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, secara keseluruhan sebanyak 90 unit tukun akan dilabuhkan di lima lokasi iaitu Marang, Kuala Terengganu, Kuala Ibai, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.

Beliau berkata, program itu membabitkan kos RM2.9 juta hasil kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Kerajaan Negeri Terengganu.

“Ini sebenarnya sebahagian daripada rangka program besar yang telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dua tahun lalu, iaitu bagi mewujudkan garisan tukun dari Kemaman hingga ke Besut sepanjang 245 kilometer.

“Kita sasarkan setiap kilometer mempunyai sekurang-kurangnya satu kelompok tukun, menjadikan sebanyak 245 kelompok dengan 10 hingga 20 unit bagi setiap kelompok.

“Sebanyak 90 unit tukun yang dilabuhkan ini bukan sahaja berfungsi sebagai ‘rumah ikan’, malah turut menjadi penampan bagi menghalang aktiviti serta pencerobohan pukat tunda di zon tangkapan nelayan pantai pada jarak kira-kira lima batu nautika dari pesisir,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Adnan Hussain, bersama pegawai kanan Jabatan Perikanan termasuk Pengarah Perikanan Negeri Selangor.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, keberkesanan program tukun tiruan itu dapat dilihat menerusi peningkatan hasil pendaratan ikan di negeri ini.

“Indikator jelas menunjukkan bahawa dalam konteks Terengganu, nelayan pantai adalah penyumbang utama hasil tangkapan dengan hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan datang daripada mereka.

“Secara tidak langsung, ini juga menjadi bukti kejayaan program tukun tiruan dalam memperkayakan sumber perikanan negeri. Program ini tidak akan terhenti di sini, sebaliknya akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Jumlah tukun yang dilabuhkan setiap tahun bergantung kepada peruntukan, namun kebiasaannya kita menyasarkan antara 80 hingga 100 unit setahun. Insya-Allah, kerjasama erat antara kementerian dan kerajaan negeri akan terus membuahkan hasil,” katanya.

Menurutnya, kesan positif juga dapat dilihat melalui jumlah pendaratan ikan di Terengganu meningkat ketara daripada 33,000 metrik tan pada 2022 kepada 46,000 metrik tan pada 2023, iaitu peningkatan hampir 39 peratus. – HARAKAHDAILY 19/8/2025

- Advertisement -