
KOTA BHARU: Amalan kitar semula diperkasakan dengan pembukaan Bangunan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) Kubur Maras, di sini yang mula beroperasi sejak Februari lalu.
Pusat ini bertujuan memudahkan masyarakat menghantar barangan terasing, mengekalkan kebersihan persekitaran, menarik pelancong, serta meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, amalan kitar semula adalah tanggungjawab bersama.
“Dengan pengasingan sampah di peringkat rumah, barangan seperti elektronik, plastik, logam dan minyak masak terpakai dapat dikitar semula, mengurangkan jumlah sampah sehingga 30 peratus di tapak pelupusan dan menjimatkan kos pengurusan sisa,” ujarnya.
Beliau menambah, kejayaan program ini juga mampu menambah jangka hayat Tapak Pelupusan Beris Lalang di Bachok dan menjana pendapatan sampingan kepada penduduk melalui aktiviti kitar semula.
“Kerajaan Negeri berharap amalan kitar semula ini dapat menjadi rutin harian setiap keluarga dan diperluaskan ke semua daerah di Kelantan. Kita mahu masyarakat bukan sahaja prihatin terhadap alam sekitar tetapi turut melihatnya sebagai peluang ekonomi,” katanya lagi.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Azi Rahimie Mohamad berkata, pusat kitar semula Kubur Maras adalah sebahagian daripada usaha menyokong Dasar Kebersihan Negara.
Jelas beliau, dasar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu bertujuan bagi meningkatkan kadar kitar semula negara.
“MPKB-BRI telah mewujudkan dua pusat kitar semula pandu lalu iaitu di Pejabat MPKB-BRI Panji dan Kubur Maras, yang dikendalikan oleh Kelantan Utilities Mubaraakan Holdings Sdn Bhd,” ujarnya.
“Setakat 2024 hingga 2025, pusat kitar semula di Panji mencatatkan 6,382 kilogram barangan boleh kitar semula manakala Kubur Maras pula 112 kilogram,” katanya lagi.
Bangunan DTRC Kubur Maras dibina di atas tapak yang dibaik pulih dengan kos RM38,450 menggunakan peruntukan RM40,000 daripada kerajaan negeri.
Kerja menaik taraf bermula pada 24 November 2024 dan siap sepenuhnya pada 21 Disember 2024, di mana operasi pusat ini dimulakan pada 22 Februari 2025 secara 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
Pusat kitar semula ini direka mesra pengguna bagi memudahkan masyarakat menghantar barangan yang telah diasingkan.
Inisiatif ini selari dengan Dasar Kebersihan Negara, menyediakan lokasi pengumpulan barangan kitar semula di taman perumahan, kawasan komersil, institusi, termasuk sekolah. – HARAKAHDAILY 18/8/2025











