Pokok mengkundor 100 tahun aset baharu Geopark

- Advertisement -

JERAI: Penemuan pokok mengkundor berusia kira-kira 100 tahun di Hutan Simpan Gunung Jerai diyakini mampu menjadi satu lagi tarikan alam semula jadi, sekali gus menambah aset baharu di kawasan tersebut yang bakal diisytiharkan sebagai Geopark kedua di Kedah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, spesies unik itu bukan sahaja menambah khazanah flora di Gunung Jerai, malah berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan yang bernilai.

“Pokok mengkundor atau nama saintifiknya Tetrameles Nudiflor ini ditemui di laluan Denai Puteri Mandi, Kompartmen 20 Hutan Simpan Gunung Jerai. Ia setinggi 25 meter dengan lilitan banir sebesar 25 pemeluk orang dewasa.

“Pokok ini banyak tumbuh di Australia, Bangladesh, Bhutan, Myanmar, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam. Namun, di atas Gunung Jerai, inilah yang paling besar dan paling tua usianya,” katanya selepas lawatan tapak sempena misi pencarian spesies itu bersama agensi berkaitan, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad dan Pegawai Daerah Yan, Maznim Ismail serta Pengarah Hutan Daerah Kedah Tengah, Nor Shahrani Nordin Ahmad serta Pengurus Kanan di Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Mohd Salim Sulaiman.

Menurut Salleh, penemuan itu akan dimanfaatkan sebaiknya kerana ia boleh menjadi daya tarikan baharu khususnya kepada pencinta alam, pelancong tempatan dan antarabangsa, selain mempelbagaikan aktiviti rekreasi di Gunung Jerai.

“Selain pokok mengkundor, kawasan sekitarnya turut dihuni pelbagai spesies burung serta flora dan fauna indah. Ini menjadikannya sesuai untuk aktiviti merentas hutan yang pasti menggamit pelancong ke negeri Kedah, khususnya bersempena Tahun Melawat Kedah 2025.

“Cuma, memandangkan lokasi ini terletak dalam kawasan hutan simpan, pengunjung perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Hutan. Ia penting untuk tujuan keselamatan serta kawalan,” ujarnya.

Beliau menambah, kewujudan pokok mengkundor itu sebelum ini hanya menjadi cerita dalam kalangan pendaki terdahulu, namun dengan pendedahan rasmi kali ini, ia akan diusahakan secara berfasa bersama Majlis Daerah Yan, Jabatan Hutan dan agensi berkaitan agar menjadi produk pelancongan mapan.

Katanya, kerajaan negeri juga menitikberatkan aspek keselamatan pengunjung selain memastikan pemeliharaan alam sekitar kekal terpelihara walaupun lokasi berkenaan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan. – HARAKAHDAILY 19/8/2025

- Advertisement -