Budaya lindung pelaku buli tidak boleh diterima

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan budaya melindungi pelaku buli tidak boleh diterima lagi dan pihak berkuasa mesti memastikan setiap pelaku dipertanggungjawabkan tanpa mengira status atau kedudukan.

Beliau berkata kes-kes buli sejak dahulu, termasuk kes Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman pada 2013 hingga kepada kes terbaru membabitkan adik Zara Qairina Mahathir, membuktikan isu buli dan penderaan di sekolah serta asrama bukan perkara kecil atau terpencil.

“Ia adalah barah yang sedang merosakkan institusi pendidikan dan menggugat keyakinan rakyat terhadap keadilan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes Wan Ahmad Faris jelas menunjukkan lemahnya sistem negara dalam aspek penyiasatan jenayah, perlindungan institusi pendidikan serta proses keadilan apabila selepas hampir 12 tahun, pelaku sebenar masih gagal dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan.

Menurutnya, kes Zara Qairina pula menimbulkan tanda tanya besar kerana siasatan awal penuh kelompangan antaranya tiada bedah siasat, bukti tidak disimpan dan kertas siasatan dipulangkan semula kerana tidak lengkap.

“Situasi sebegini amat mengecewakan keluarga mangsa dan seluruh rakyat yang menuntut jawapan,” ujarnya yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Negara.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat sinar harapan apabila kes buli di MRSM Terengganu pada Jun lalu ditangani dengan pantas apabila siasatan dalaman dibuat segera, pelaku dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi dan pihak polis turut campur tangan.

Ustazah Nuridah turut menegaskan bahawa budaya menyembunyikan kesalahan tidak boleh diterima kerana kebenaran pasti akan terserlah dan berharap ketegasan dilaksanakan di MRSM Terengganu itu sebagai contoh ketelusan dan keberanian yang wajar dijadikan standard di semua institusi.

“Jika kita benar-benar mahu membendung budaya buli, maka tindakan tegas, telus, dan adil mestilah dijadikan prinsip utama,” cadangnya, sehubungan itu mendesak pihak berkuasa melaksanakan siasatan kes-kes kematian dan buli pelajar di Malaysia hingga ke akar umbi agar keluarga mangsa tidak terus menanggung luka tanpa jawapan.

Beliau menyeru seluruh masyarakat berganding bahu memastikan sekolah dan asrama kembali menjadi tempat yang selamat, mendidik, dan membentuk generasi pewaris bangsa. – HARAKAHDAILY 19/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -