Kedah cadang tubuh Muzium Perang Musuh Bisik

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah memperhalusi langkah ke arah penubuhan Muzium Perang Musuh Bisik yang bakal menjadi mercu tanda penting dalam memelihara sejarah kedaulatan negeri itu.

- Advertisement -

Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, proses penubuhan muzium berkenaan telah bermula sejak sekian lama, namun memerlukan penelitian rapi kerana ia berkait langsung dengan sejarah negeri yang amat bernilai.

“Segala langkah perlu diperhalusi dengan sedalam-dalamnya supaya muzium yang bakal diwujudkan ini benar-benar menggambarkan ciri sebenar peristiwa Perang Musuh Bisik, yang merupakan antara peristiwa paling penting dalam sejarah Kedah,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bagi Penubuhan Muzium Perang Musuh Bisik di Wisma Darul Aman, semalam.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri ketua-ketua jabatan kerajaan negeri yang berkaitan antaranya Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Dr Ibrahim Bakar Langkawi.

Juga Exco Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Mohd Herman Roslan, yang membentangkan penerangan terperinci mengenai latar belakang Perang Musuh Bisik.

Menurut Mohd Salleh, latar sejarah tersebut amat penting untuk memastikan naratif muzium kelak bertepatan dengan fakta sebenar serta memberi gambaran jelas kepada generasi akan datang mengenai kepentingan mempertahankan tanah air.

“Banyak idea dan pandangan dikemukakan oleh ahli mesyuarat hari ini, semuanya telah diambil kira dan akan diteliti sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan muzium ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan, tetapi juga pusat pendidikan sejarah yang bermanfaat,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa penubuhan Muzium Perang Musuh Bisik diharap dapat memperkukuh identiti Kedah sebagai negeri yang kaya dengan sejarah perjuangan, selain memperluas sektor pelancongan berasaskan warisan. – HARAKAHDAILY 11/8/2025

- Advertisement -