
KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Kesihatan yang menyalahkan faktor peribadi dan sektor swasta sebagai punca utama 705 doktor dan 1,394 jururawat meletakkan jawatan antara tahun 2022 sehingga 2024 dianggap dangkal dan tidak menggambarkan realiti sebenar.
Pengerusi Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Reen Mohd Amin menyifatkan alasan kerajaan itu sebagai usaha mengelak isu sebenar dan menunjukkan petugas kesihatan semakin hilang kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan.
“Petugas berpengalaman yang telah berkhidmat melebihi lima tahun tidak akan meninggalkan sistem tanpa sebab yang kukuh. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat gagal menyelami masalah sebenar di sebalik krisis ini.
“Kerajaan perlu menyedari bahawa beban kerja yang melampau, imbuhan yang tidak setimpal, peluang kenaikan pangkat yang terhad, persekitaran kerja yang menekan, kekurangan sokongan fasiliti dan peralatan.
“Serta dasar KKM yang tidak konsisten serta kerap kali dilihat sebagai tidak mengutamakan kebajikan petugas kesihatan adalah antara faktor utama mengapa mereka meninggalkan perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pengambilan jururawat dari Indonesia untuk berkhidmat di hospital kerajaan, yang dikatakan hanya akan menambah keresahan dalam kalangan jururawat tempatan.
“CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam) dalam kenyataannya membantah keras langkah ini, manakala KKM pula menafikan wujud sebarang perbincangan rasmi berkenaan perkara tersebut.
“Isu ini jelas menggambarkan kegagalan perancangan tenaga kerja kesihatan secara menyeluruh serta menambah tekanan terhadap jururawat tempatan yang masih atau bakal berkhidmat di sektor kerajaan,” tegasnya.
Mengulas lanjut, pengumuman angka pengambilan baharu seperti 12,761 doktor dan 5,396 jururawat disifatkan hanyalah gula-gula statistik dan tidak menutup fakta bahawa kehilangan tenaga berpengalaman menjejaskan kualiti perkhidmatan terhadap sistem kesihatan awam.
Jelas beliau, langkah seperti pengurangan waktu bekerja dan pemberian elaun hanyalah bersifat kosmetik, sementara serta tidak menyelesaikan punca sebenar masalah yang berlaku.
“Kenyataan Menteri Kesihatan yang lebih banyak menonjolkan ‘naratif kejayaan’ jelas menunjukkan bahawa kerajaan lebih sibuk menjaga imej berbanding mengakui kelemahan serta memperbaikinya.
“Gelombang peletakan jawatan ini adalah isyarat jelas hilangnya keyakinan petugas kesihatan terhadap pentadbiran kerajaan, dan ianya tidak boleh diredakan hanya dengan statistik dan janji-janji manis.
“Krisis ini juga melambangkan kehilangan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan kerajaan dalam memastikan sistem kesihatan awam berfungsi dengan baik.
“Sekiranya ia terus ditangani dengan cara yang tersasar, tidak mustahil rakyat bakal hilang keyakinan terhadap kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2025











