
AYER KEROH: Dr Shawn Loh Sheng Nian berpendapat kerajaan perlu membuat pertimbangan dan penilaian yang lebih mendalam terhadap pelan perjanjian pembelian pesawat bernilai puluhan bilion ringgit.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Melaka itu mengingatkan kerajaan bahawa pelaburan berskala besar ini bukan hanya berkaitan dengan masa depan syarikat penerbangan nasional.
“Tetapi juga peruntukan sumber negara yang wajar dinilai kepada kesejahteraan rakyat seluruhnya. Keputusan ini perlu diteliti semula bagi memastikan semuanya dibuat berdasarkan keseimbangan antara aspirasi komersial dan keperluan asas rakyat,” ujarnya.
Jelasnya, dalam usaha kerajaan memacu pembangunan industri penerbangan melibatkan pembelian pesawat dari syarikat terkemuka dunia itu, negara juga masih berdepan dengan cabaran dalam sektor kesihatan, pendidikan dan jaminan sosial.
Tegasnya, semua itu mewakili dana besar yang signifikan kepada keperluan rakyat, malah jika kewangan sebesar itu diperuntukkan kepada pembangunan negeri Melaka, ia akan memberikan impak lebih langsung dan meluas.
“Untuk negeri Melaka, kami menggesa kerajaan menjalankan analisis kos-faedah yang bebas dan mengutamakan sumber untuk aspek-aspek seperti pelancongan dan infrastruktur Melaka.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka boleh dinaik taraf bagi merangsang ekonomi pelancongan tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” ujar beliau memberikan saranan.
Menyentuh mengenai sistem kesihatan menurutnya, peralatan perubatan di hospital-hospital di negeri ini boleh diperbaharui untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti.
Selain itu dalam memberi jaminan sosial kepada rakyat, beliau mencadangkan bantuan kewangan untuk keluarga berpendapatan rendah dan golongan rentan di Melaka ditingkatkan untuk membantu mereka menghadapi kos sara hidup yang meningkat.
Tambah beliau, kewajaran komersial rancangan pembelian ini juga wajar difikirkan kerajaan berdasarkan kedudukan kewangan syarikat penerbangan tersebut di mana pengembangan hutang yang besar boleh memburukkan lagi risiko kewangan.
“Kami percaya bahawa keputusan komersial sesebuah negara yang makmur harus seiring dengan kesejahteraan rakyatnya. Kami mengharap kerajaan mendapatkan pandangan umum dan profesional.
“Ini bagi memastikan proses membuat keputusan mengambil kira suara semua pihak berkepentingan, serta merumuskan strategi pembangunan negara yang menyeluruh, seimbangi pelaburan strategik dalam industri penerbangan dengan keperluan jangka panjang kesejahteraan sosial.
“Kami yakin, melalui perbincangan terbuka dan pertimbangan yang teliti, Malaysia mampu membuat pilihan bijak yang bukan sahaja memacu ekonomi, tetapi juga menjamin kebahagiaan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2025











