
KOTA BHARU: Kelantan mencatatkan penurunan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah sebanyak 5.4 peratus, membabitkan seramai 11,280 individu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Kelantan kini berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Malaysia bagi kadar penagihan dadah per 100,000 penduduk, dengan 597 kes.
Katanya, negeri ini berada di belakang Terengganu yang mencatatkan 663 kes dan Perlis sebanyak 609 kes.
“Penurunan ini berkait rapat dengan usaha dan inisiatif pelbagai pihak, khususnya penguatkuasaan serta pelaksanaan program pencegahan dan kawalan di sempadan.
“Kelantan termasuk dalam kalangan negeri bersempadan yang berisiko tinggi kerana mudah menerima bekalan, tetapi polis di negeri ini sentiasa aktif mengawal aktiviti pengedaran,” katanya.
Menurutnya, kempen bahaya dadah termasuk di sekolah serta serbuan mengejut di lokasi tertentu yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak akhirnya membuahkan hasil.
Beliau berkata demikian dalam satu mesyuarat khas Majlis Tindakan Membanteras Dadah Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Tambah beliau, penutupan jalan tikus serta pangkalan haram oleh pihak berkuasa membantu mengawal aktiviti keluar masuk bahan terlarang dari negara jiran secara lebih teratur.
“Masalah dadah ini bukan hanya tertumpu di Kelantan semata-mata, malah turut berlaku di negeri-negeri sempadan lain seperti Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Kelantan ini lebih berisiko kerana ia negeri sempadan. Bekalan dadah dari luar lebih mudah masuk ke negara kita. Sebab itu kita berdepan cabaran lebih besar,” ujarnya.
Beliau turut berterima kasih atas penglibatan semua agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, masjid dan surau serta sokongan masyarakat setempat dalam usaha membanteras gejala dadah.
“Kita tidak pernah berhenti dan tidak akan berputus asa. Insya-Allah, laporan rasmi separuh tahun pertama akan dikeluarkan bulan Ogos ini dan kita berharap ia menunjukkan keputusan yang lebih baik dari sebelumnya,” ujarnya.
Menurut beliau, mesyuarat seumpama itu turut diadakan di semua negeri dan dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing sebagai platform kerjasama rentas agensi menangani isu dadah secara menyeluruh.
Katanya, mesyuarat kali ini turut membentangkan laporan semasa situasi dadah di Kelantan dan Malaysia secara keseluruhan termasuk input daripada Polis Diraja Malaysia. – HARAKAHDAILY 4/8/2025




















