
KANGAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia wajar diadakan pada masa hadapan sebagai salah satu langkah membangunkan kepimpinan generasi muda negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan serta Sains, Teknologi dan Inovasi, Mohd Ridzuan Hashim berkata, cadangan itu bagi memberi peluang kepada golongan belia untuk bersuara.
“Di sini juga saya ingin mencadangkan agar Sidang DUN Belia juga diadakan pada pada masa hadapan, hal ini adalah bertujuan degan wujudnya sidang ini akan memberi peluang kepada mereka untuk menyampaikan idea selain itu dapat membangunkan kepimpinan belia yang akan memimpin suatu hari nanti,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau menekankan bahawa pembangunan belia, bersama bidang sukan dan sains, teknologi dan inovasi (STI), merupakan tiga elemen penting dalam membentuk generasi berdaya saing serta memacu kemajuan negeri secara holistik.
“Belia merupakan aset negara yang paling berharga. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan ruang, peluang dan sokongan yang berterusan agar mereka dapat berkembang dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawanan dan inovasi teknologi.
“Sukan pula adalah wahana perpaduan, disiplin dan kesihatan. Ia bukan sahaja melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah menyatukan masyarakat dan membina semangat kenegaraan yang kukuh.
“Manakala dalam dunia yang sedang bergerak pantas ke arah Revolusi Industri 4.0, sains, teknologi dan inovasi (STI) bukan lagi pilihan ia adalah keperluan,” katanya lagi.
Kerajaan negeri juga katanya akan terus menyokong pelaksanaan program strategik dengan kerjasama agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan pertubuhan belia agar impak pembangunan dapat dimaksimumkan.
Tambah beliau, pendekatan menyeluruh atau whole-of-nation approach diperlukan demi memastikan usaha ini membuahkan hasil.
“Kita perlukan ‘whole-of-nation approach’, sektor swasta mempunyai kekuatan dari segi sumber, kepakaran, teknologi dan rangkaian; manakala kerajaan mempunyai dasar, hala tuju dan peranan pemudah cara.”
“Dalam bidang belia, kita mengalu-alukan lebih banyak pelaburan sosial korporat, program mentor-mentee, latihan keusahawanan, dan peluang kerjaya melalui platform kerjasama industri.
“Dalam bidang sukan, kolaborasi dengan syarikat-syarikat swasta amat penting dalam menaja kejohanan, membina kemudahan sukan komuniti, dan menyokong pembangunan atlet negeri.
“Dan dalam bidang STI, kita perlukan lebih banyak kerjasama dalam bentuk inkubator, program latihan teknikal, serta akses kepada teknologi dan pasaran global agar anak muda Perlis mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan pentingnya kecekapan pentadbiran kerajaan dan penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar
“Kita tidak lagi boleh berpuas hati dengan prosedur yang panjang dan berbelit. Sebaliknya, kita mesti mengutamakan penyampaian perkhidmatan yang cepat, mesra, dan berkesan.
“Saya ingin menekankan bahawa rakyat menilai kita bukan sahaja melalui dasar dan pelan pembangunan, tetapi juga melalui cara dan masa kita bertindak,” ujarnya.
Mengulas tentang sikap belia hari ini, beliau menyeru perubahan minda ke arah kecemerlangan.
“Kita sedang berdepan dengan cabaran yang semakin ketara dalam kalangan anak-anak muda kekeliruan dalam menentukan hala tuju hidup dan kerjaya.
“Anak-anak muda ini adalah masa depan Perlis. Jika kita tidak ubah cara fikir mereka hari ini, kita mungkin kehilangan potensi besar yang sepatutnya menjadi aset negeri esok,” katanya.
Mohd Ridzuan turut memberi pesanan kepada golongan itu untuk terus mencuba dan tidak takut untuk gagal.
“Jangan takut mencuba, jangan malu gagal. Setiap inovasi bermula dengan satu langkah berani, jadilah pelopor, bukan pengikut, jadilah penyelesai masalah, bukan sekadar pengkritik,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/4/2025




















