
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis menzahirkan komitmen padu dalam memperkasa infrastruktur dan keselesaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri menerusi peruntukan konsisten serta inisiatif kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata sejak dahulu lagi, pengurusan pembaikan dan penyelenggaraan bangunan serta ruang pejabat JKM diuruskan bersama antara peruntukan negeri dan persekutuan.
Tambahan pula, ujarnya, bil utiliti seperti elektrik dan air ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri Perlis telah memperuntukkan ruang kerja tambahan di bangunan bahagian pentadbiran daerah.
“Bangunan lama dan bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat turut disiapkan untuk kegunaan JKM Negeri Perlis. Selain itu, peruntukan persekutuan sebanyak RM50,000 pada 2023 dan RM1.8 juta pada 2024 telah dihulurkan bagi membaik pulih serta menaik taraf ruang pejabat,” jelasnya ketika menjawab soalan Megat Hashirat Hassan (PN–Pauh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kecemerlangan dan komitmen warga JKM Perlis yang terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat negeri ini.
Dalam perkembangan terkini, Mohd Shukri memaklumkan bahawa JKM Negeri Perlis telah menjalankan tinjauan menyeluruh ke atas beberapa tapak berpotensi bagi membangunkan kompleks pejabat baharu.
“Langkah ini bertujuan menyediakan kemudahan lebih selesa kepada kakitangan dan pelanggan.
“Insya‑Allah, sekiranya peruntukan yang dipohon diluluskan, kita akan membina bangunan baharu. Kerajaan negeri sedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan projek ini,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 24/4/2025











