50,000 hadir meriahkan rumah terbuka PAS Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran PAS Negeri Terengganu yang berlangsung di Dataran Shahbandar, di sini, hari ini mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 50,000 tetamu.

- Advertisement -

Acara yang sepatutnya bermula pada jam 11 pagi hingga 3 petang sudah dipenuhi dengan kehadiran tetamu seawal jam 10.30 pagi, menunjukkan keterujaan orang ramai untuk turut serta pada majlis tersebut.

Kemeriahan majlis itu tidak hanya diserikan dengan kehadiran ahli PAS, tetapi turut menarik perhatian orang ramai dari pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang bukan beragama Islam dan bukan Melayu.

Ini menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan rakyat Terengganu, sekali gus mengukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Berkonsep gerai, lebih 20 jenis hidangan tersedia untuk para tetamu, antaranya nasi dagang, nasi minyak, gulai daging lembu kampung, kambing bakar, mi kari, sate ayam dan daging, serta pelbagai kuih muih tradisional dan moden. Juadah seperti sata, otak-otak, keropok lekor dan lemang juga tidak ketinggalan untuk dinikmati bersama.

Selain itu, suasana majlis diserikan dengan persembahan lagu raya, nasyid dan sajak yang menambah kemeriahan Hari Raya.

Dalam pada itu, pertandingan kiosk terbaik turut diadakan, di mana PAS Kawasan Kemaman dinobatkan sebagai juara dan menerima wang tunai RM3,000.

PAS Kawasan Besut dan Kuala Nerus masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga, membawa pulang RM2,000 dan RM1,000.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, (foto atas) Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah, serta beberapa ADUN, antaranya Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), ADUN Chukai, Hanafiah Mat; ADUN Rantau Abang, Ustaz Mohd Fadhli; ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim; ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed; ADUN Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor; ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim; ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Turut hadir Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh.

Ustaz Husain Awang beramah mesra dengan Ustaz Azhar Idrus yang turut hadir Rumah Terbuka PAS Terengganu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang, merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan memohon maaf atas segala kekurangan.

“Saya mewakili seluruh pimpinan PAS negeri dan seluruh ahli-ahli PAS Terengganu mengucapkan selamat hari raya kepada para hadirin muslimin, muslimat sekalian khususnya tetamu khas kita yang ada bersama-sama dengan kita hari ini.

“Selamat hari raya maaf zahir dan batin. Terima kasih kerana datang bersama-sama memeriahkan dan meraikan majlis sambutan Aidil Fitri pada tahun ini.

“Alhamdulillah sambutan yang diberikan oleh tuan puan satu sambutan yang amat membanggakan kami,” katanya kita berucap pada majlis itu.

Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk sentiasa mempertahankan maruah negeri dan negara serta menghargai perlembagaan yang menjamin hak Islam dan Melayu.

“Negeri kita ini tanah air kita, kita lah tuannya, kita yang memiliki asal tanah dan bumi ini yang termaktub dalam persekutuan tanah melayu, itu yang telah termaktub sejak daripada awal merdeka sehinggalah sekarang ini.

“Oleh itu jangan lalai, jangan lupa terhadap tanggungjawab kita terhadap negara, negeri dan tanah air ini. Anak cucu kita generasi yang akan datang ini. Marilah kita sama-sama pertahankan maruah kita sebagai orang asal kepada negara ini.

“Kepada kaum Tionghua yang bukan dari kaum Melayu dan sebagainya kita juga adalah warga negara bersama yang mempunyai hak yang saksama, tetapi mengikut perlembagaan Melayu lebih utama dan hak Islam itu adalah menjadi asas kepada kedudukan negara dan perlembagaan negara ini.

“Moga-moga kita tidak lalai, tidak lupa dan moga-moga maruah kita terjamin dan negara tidak tergadai begitu sahaja oleh golongan yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

- Advertisement -