
ALOR SETAR: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dinasihatkan agar tidak berkecil hati, berikutan isu permohonan Notis Perubahan (NoC) projek Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 5, yang disepatutnya di bawah bidang kuasanya, telah diselesaikan oleh ‘bosnya’, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, pihaknya telah menunggu lebih daripada setahun kelulusan berkenaan, namun sepi tiada sebarang maklum balas daripada kementerian tersebut.
“Kelulusan NoC itu perlu segera diluluskan sebelum meneruskan proses perolehan tanah, namun kerajaan negeri menunggu sehingga lebih setahun.
“Kita juga sudah sahkan secara rundingan harga tanah dengan pemiliknya, Boustead,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, semalam.
Katanya lagi, Rafizi seolah-olah bermain politik dengan memberi alasan kononnya tiada surat rasmi dari kerajaan negeri berkenaan permohonan tersebut kepada kementeriannya.
Dalam pada itu, Sanusi menegaskan sekiranya surat menjadi penyebab pihaknya tiada bermasalah untuk berbuat demikian tetapi hal tersebut tidak pernah dimaklumkan sebelum ini.
“Surat sekeping pun jadi alasan tangguh setahun. Saya ‘tabik spring’ kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang uruskan hal ini. 30 minit jumpa PMX, perkara ini selesai.
“Tapi oleh kerana kita jumpa PMX, Rafizi jangan kecil hati pula. Dah saya bagi dia masa setahun tapi tak selesaikan, kita jumpa bos dia la pula,” tegasnya sambil berseloroh.
Kelmarin, Rafizi dalam kenyataannya, mendakwa, pihaknya difitnah oleh seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah kerana sengaja melengah-lengahkan permohonan kelulusan NoC dan cuba mensabotaj projek berkenaan.
“Kalau dia minta surat kita boleh bagi tapi balik senyap setahun lepas itu kata surat tak beri. Tak ada mulut ka nak minta surat.
“Saya hairan dengan dia, main TikTok pandai. Sampaikan rumah terbuka Aidilfitri saya yang tiada kena mengena dengan Kementerian Ekonomi pun dia komen.
“Ketika perjumpaan bersamanya sebelum ini pun dia tak kata apa. Dia sebut makan kuih ‘darai’ (dangai) sahaja,” bidas Sanusi lagi.
Beliau menegaskan lagi, penambahan pinjaman dari jumlah asal yang dikemukakan kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan untuk Fasa 5 itu berjumlah RM362 juta, tidak lagi RM195 juta yang dinyatakan Rafizi, sebelum ini.
Tegasnya, permohonan pinjaman asal iaitu RM195 juta, tidak mencukupi berikutan nilai tanah sudah berubah harga.
Dahulu katanya, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menilai tanah di situ berharga antara RM7 ke RM8 sekaki sahaja, tetapi sekarang sudah menjangkau RM18 sekaki.
“Bersama pinjaman itu, kerajaan persekutuan akan sertakan peruntukan secara geran infrastruktur yang perlu disalurkan kerana semua cukai industri kilang-kilang akan kembali kepada pihak mereka,” tegas beliau.
Berikutan itu, tambahnya, perkara yang sama juga dilakukan ketika membangunkan Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 KHTP , di mana kerajaan negeri membuat pinjaman serta menerima geran infrastruktur.
Namun bagi Fasa 4A, tegasnya, kesemua kos ditanggung 100 peratus oleh kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 24/4/2025











