
KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan atas kejayaan sektor pertanian negeri yang mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 7.4 peratus pada tahun 2023, berbanding kemerosotan 4.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Baginda bertitah, pemulihan itu disumbangkan oleh kemajuan dalam subsektor tanaman seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, serta prestasi memberangsangkan dalam sektor perikanan.
“Sektor pertanian merupakan salah satu tunjang utama pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu dan memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan.
“Beta menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi memastikan sektor ini kembali mencatat pertumbuhan positif pada tahun 2023, setelah mengalami penguncupan selama tiga tahun sebelumnya.
“Penghargaan juga dizahirkan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, atas usaha berterusan memperkukuh sektor ini menerusi program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bersama kerajaan negeri,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Baginda bertitah, inisiatif strategik itu bukan sahaja memastikan kestabilan dan keselamatan bekalan makanan negara, malah turut sejajar dengan sasaran Self-Sufficiency Ratio (SSR), sekali gus memperkasa daya saing sektor pertanian.
Titah baginda lagi, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024–2030 yang dilancarkan kerajaan negeri dilihat sebagai langkah penting dalam memodenkan sektor pertanian, meningkatkan kadar sara diri subsektor, serta menyasarkan pertumbuhan KDNK pertanian.
Pelan menggariskan enam teras utama sebagai panduan ke arah pembangunan sektor pertanian negeri yang lebih mampan dan inovatif itu, diharapkan agar menjadi pemangkin kepada transformasi besar dalam memodenkan sektor pertanian, memperkukuh rantaian nilai serta pemasaran dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan para petani.
“Beta juga menaruh harapan tinggi agar setiap strategi dan program yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus meningkatkan kadar sara diri bagi setiap subsektor hingga 20 peratus berbanding tahun 2023 serta mendorong pertumbuhan KDNK sektor pertanian sehingga 12 peratus menjelang tahun 2030.
“Seiring dengan pelaksanaan pelan ini, Beta menyarankan agar projek pertanian berskala komersial dengan pelbagai tanaman komoditi dipergiatkan.
“Usaha ini bukan sekadar mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara, tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, serta memastikan keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar,” titahnya. – HARAKAHDAILY 14/4/2025




















