
KUALA TERENGGANU: Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman bakal menyaksikan peningkatan kapasiti pengendalian kargo tahunan daripada 4 juta kepada 12 juta metrik tan melalui pemasangan kren secara berperingkat.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, peningkatan itu sejajar dengan permintaan terhadap perkhidmatan pelabuhan.
“Beta berharap dengan pembinaan dermaga yang lebih luas, kelengkapan yang dipertingkat serta sambungan rel yang lebih strategik, pelabuhan Kemaman akan dapat menampung pertumbuhan kargo pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan daya saing industri maritim negara,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Titah baginda, kadar penggunaan Dermaga Timur dijangka melebihi 65 peratus menjelang 2027, sekali gus memerlukan pembesaran dermaga bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan kapal.
“Bagi menyokong pembesaran ini, Malaysia Rail Link (MRL) akan membina Rel Jajaran Sisihan Kemaman sepanjang 12.5 kilometer dari Chukai ke Pelabuhan Kemaman yang menghubungkannya dengan rangkaian rel kebangsaan. Ini akan meningkatkan kecekapan sistem logistik serta pengangkutan kargo melalui integrasi darat dan laut yang lebih baik.
“Selain itu, projek penambakan laut seluas 56 ekar akan dilaksanakan di Dermaga Timur bagi menambah ruang operasi dan infrastruktur sokongan. Projek ini kini dalam proses Kajian Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) yang perlu dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pematuhan piawaian serta kelestarian ekosistem marin.
“Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasi Pelabuhan Kemaman, tetapi juga memperkukuh peranannya sebagai hab logistik utama di rantau ini,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 14/4/2025




















