
BACHOK: Kerajaan Kelantan yakin beberapa cadangan pembangunan utama yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan akan mendapat pertimbangan sewajarnya demi kesejahteraan rakyat, berlandaskan semangat federalisme.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menyatakan perkara itu pada ucapannya sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, semalam.
Katanya, cadangan berkenaan telah disampaikan sendiri kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di sini semalam.
“Alhamdulillah, beberapa cadangan projek yang menjadi keutamaan Kerajaan Kelantan sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri. Saya percaya ia akan diberi pertimbangan yang adil,” katanya.
Menurutnya, hubungan baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting dalam memastikan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan harmoni tanpa mengira pegangan politik antara keduanya.
“Dalam hal pentadbiran, kita menjunjung tinggi semangat federalisme yang matang. Negeri dan persekutuan tidak hadir untuk saling bersaing, sebaliknya harus bergerak seiring menjayakan agenda rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri terus komited menggerakkan pelan strategik ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’ dengan memelihara perpaduan serta keharmonian rakyat sambil memperkukuh hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut memberitahu, keamanan dan keharmonian yang terbina dalam negara kini mesti dijaga dan diperkukuhkan sebaik mungkin.
Ribuan rakyat Kelantan hadir pada majlis berkenaan yang turut disediakan juadah Aidilfitri.
Turut hadir pada majlis itu, anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 13/4/2025





















