Ustaz Muhaimin muda energi, berjiwa pemimpin rakyat

- Advertisement -

TAPAH: Pada hari pertama sebaik disahkan sebagai calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek ternyata cergas memenuhi jadual kempennya.

Pelbagai aktiviti yang telah diaturkan untuk beliau dapat dipenuhi dengan jayanya terutama dalam menyantuni khusus warga penduduk dan bersama keramaian masyarakat di DUN berkenaan.

Reaksi ramai menyaksikan bahawa Ustaz Muhaimin bukanlah asing bagi mereka, sebaliknya memang dikenali sebagai individu yang tidak terpisah dari pelbagai urusan pendidikan, keilmuan, kemasyarakatan dan kebajikan.

- Advertisement -

Sebaik sahaja selesai urusan penamaan calon, dengan masih lengkap berbaju Melayu dan bersampin, beliau meluangkan kesempatan memenuhi jemputan Rumah Terbuka Aidilfitri, Jailani Arshad di Sungai Lesong.

Ketika sama, ramai dalam kalangan pengunjung majlis itu kelihatan teruja mengambil kesempatan untuk bergambar dengan beliau walaupun ada mereka itu berbeza fahaman politik atau petugas parti lawan.

Tidak di situ sahaja, calon PERIKATAN NASIONAL (PN) ini bagaikan disuntik tenaga tambahan apabila hadir menyertai pertemuan team Alternative Ride Club (ARC) di Hakim Canai Corner di Temoh, selepas daripada itu.

Beliau bersama beberapa pemimpin antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad bersama Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden telah meraikan ‘Tea Tarik Session’ bersama team ARC yang berkonvoi ke lokasi penamaan calon.

“Teh tarik je pun… tapi ukhuwah tu yang mahal. Kami orang muda senang je nak ‘ngam’ antara satu sama lain. Ada teh tarik, ada meja kerusi, berjam-jam lepak pun boleh. Macam-macam topik boleh sembang.

“Tambah pula bila geng motor bertemu geng motor, lagi lama le menyembangnya,” ujarnya turut menyatakan keghairahan hasratnya untuk menyertai konvoi beramai-ramai nanti.

Selepas itu, beliau sempat menjengah warga emas yang uzur, asnaf dan beberapa penduduk dalam Ziarah Mahabbah di Pekan Getah dan memanjatkan doanya agar mereka semua diberi kesejahteraan dalam hidup.

Kehadirannya bukan sahaja dilihat menghadirkan secebis kegembiraan kepada warga terbabit yang sebahagiannya sakit terlantar, sebaliknya lebih utama adalah keprihatinan dan kesantunan beliau terhadap mereka.

“Allah beri ujian hidup, ujian sakit dan segala macam ujian lain kepada hambaNya yang terpilih sahaja. Kerana Allah tahu hambanya itu kuat untuk hadapi ujian. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua,” katanya.

Pada sebelah petangnya, beliau turun padang bersama anak-anak muda yang sememangnya ternanti untuk bersama beliau bagi menzahirkan sokongan dan menyertai aktiviti pertandingan tarik tali di Kampung Simpang Tiga.

“Tarik tali ini, menang seronok, kalah pun seronok juga. Tapi kita ‘steady’ sajalah, layan geng-geng muda,” ujarnya yang ceria dan tak lekang dengan senyuman serta gurauan.

Ustaz Muhaimin, 44, sememangnya tidak kekok untuk bergaul dengan pelbagai umur sama ada muda atau tua, apatah lagi kerjayanya sebelum ini juga melibatkan penyertaannya bersama semua lapisan umur.

Terdahulu, sebelum melangkah ke pusat penamaan calon pada pagi itu, beliau memohon restu dari kedua ibu bapanya, agar Allah mempermudahkan urusannya dan berdoa untuk kemenangan calon PN. – HARAKAHDAILY 13/4/2025

- Advertisement -