
TAPAH: “Ilmu tanpa adab ibarat pokok tanpa buah. Nampak gah, tapi tidak memberi manfaat,” itulah pegangan hidup calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek.
Beliau berkongsi catatan peribadi yang bernostalgia menelusuri kenangan zaman kecilnya di usia 10 tahun iaitu ketika menuntut ilmu di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Kampung Tengah Derang, Pokok Sena, Kedah.
“Ingat lagi masa tu tahun 1991, umur saya 10 tahun. Lama saya menetap di Derang. Dari tahun 1991 hingga tahun 2000. Habis Tingkatan 6 (Syahadah), saya sambung belajar talaqqi kitab pula bersama Syeikh Nuruddin, Almarhum Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam di maahad yang sama sampailah bulan Ogos tahun 2000.
“Sejak saya kecil, saya dididik oleh ummi ayah untuk mementingkan pelajaran. Pesan ayah saya, ilmu akan menjadikan kita insan berguna. Tetapi, jika tanpa adab, sia-sia lah ilmu yang dipelajari. Ilmu tanpa adab ibarat pokok tanpa buah, nampak gah, tapi tidak memberi manfaat sebenar.
“Ada orang dia berilmu tapi sombong, bongkak, atau memperlekeh orang lain, akhirnya tak akan dihormati. Tapi kalau seseorang itu berilmu dan beradab, dia akan jadi insan yang bukan sahaja disegani, tapi juga dicontohi. Itu lah yang saya pegang dalam hidup saya,” coretnya.
Menurut Ustaz Muhaimin, beliau berjaya mengkhatamkan pelbagai kitab klasik seperti Sunan Tarmizi, Fiqh Mughnil Muhtaj, dan Al-Kabair serta pelbagai kitab kecil (kutaib), sebelum diberi peluang melanjutkan pelajaran ke bumi Syria.
“Saya peluk ummi ayah yang banyak memberi saya dorongan untuk timba ilmu. Impian saya Allah makbulkan. Saya terima tawaran untuk melanjutkan pembelajaran ke Institut Al-Fatah Al-Islamy Damascus, Syria. Alhamdulillah ya Allah. Sebuah kesyukuran yang tidak terkata,” ujarnya.
Katanya lagi, saat yang paling bermakna adalah apabila dua tokoh ulama tersohor, Almarhum Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam dan Almarhum Ustaz Abu Bakar Awang sendiri yang menghantar beliau bagi menimba ilmu ke bumi Syam itu.
“Kenangan yang tidak akan saya lupakan. Gugur air mata bila teringat kisah tersebut. Bukan kerana sedih, tapi kerana saya terlalu bersyukur. Siapa sangka, hamba yang hina ini dipilih oleh Allah untuk melangkah ke bumi asing demi menuntut ilmu,” katanya.
Beliau yang kini merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah turut menzahirkan harapan agar ilmu yang diperolehnya selama ini dapat dikongsi dan dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan umat.
“Semoga ilmu yang saya ada pada hari ini bukan sekadar untuk diri sendiri, tapi untuk agama, bangsa dan ummah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2025











