
AMPANG: Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Fa Izin Travel & Tours Sdn Bhd (Fa Izin) memberi sumbangan kepada penghuni Rumah Kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) Al Hadid dalam sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Wakil Fa Izin, Ustaz Abu Al Laith Nizamuddin berkata, program CSR itu disertai oleh enam orang petugas dengan Rumah Kebajikan OKU Al Hadid dipilih kerana kurang mendapat sumbangan daripada pihak lain.
“Diharapkan, sedikit sebanyak sumbangan ini dapat membantu meringankan bebanan dan tanggungan pihak pengurusan di sini.
“Semoga kebaikan yang dilakukan bukan sahaja untuk hari ini, tetapi akan berterusan sebagai tanda rasa syukur kita atas nikmat yang telah Allah berikan,” katanya.
Sumbangan yang diberikan itu termasuk antaranya makanan asasi, kuih raya, duit raya, kipas, meja, air minuman kotak serta makanan ringan.

Sementara itu ketua rumah kebajikan, Halmi Seali meluahkan rasa terharu dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh agensi itu.
“Kami amat berterima kasih kepada Fa Izin atas sumbangan yang amat bermakna ini. Sumbangan ini pasti akan membantu kami dalam menjalankan operasi harian dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada penghuni.”
“Program ini jelas menunjukkan komitmen Fa Izin Travel dalam menjalankan tanggungjawab sosial mereka dan memberi impak positif kepada masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya.
Beliau berkata, program itu boleh menjadi contoh kepada lebih banyak pihak untuk turut memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 31/3/2025




















