Golongan kerja malam terima edaran sahur

Salamiah menyerahkan makanan sahur kepada seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah.
- Advertisement -

TEMERLOH: Ketika umat Islam menunaikan solat tarawih di masjid dan surau, sesetengah golongan tidak dapat melakukan ibadah itu yang hanya ada pada Ramadan kerana tuntutan tugas dan mencari rezeki.

Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor, yang menyedari pengorbanan mereka berkesempatan untuk berkongsi rezeki dengan mengedarkan makanan untuk bersahur kepada mereka yang bekerja pada waktu malam.

- Advertisement -

Katanya, edaran sahur itu bagi menghargai golongan yang bertugas pada waktu itu seperti pekerja kilang, pemandu dan petugas keselamatan yang tetap berkhidmat demi kelangsungan masyarakat.

“Dengan sumbangan juadah sahur, diharapkan dapat meringankan urusan mereka dan memberi kekuatan untuk menjalani ibadah puasa.

“Terima kasih kepada Bait AlShawarma yang menyediakan juadah sahur untuk dinikmati oleh mereka yang terpilih. Semoga rezeki diberkati Allah,” katanya dalam catatan media sosialnya.

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia berkata, edaran sahur itu bukan sekadar menyampaikan makanan, tetapi sebagai tanda kebersamaan dan penghargaan terhadap pengorbanan mereka.

“Semoga usaha kecil ini membawa keberkatan dan mengeratkan hubungan kita pada bulan Ramadan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -