
KUALA LUMPUR: Walaupun Perdana Menteri menegaskan bahawa suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (SEB) adalah pinjaman yang perlu dibayar semula, analisis berdasarkan data dan fakta menunjukkan bahawa tindakan itu masih boleh dikategorikan sebagai bailout kerajaan.
Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ironinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mencadangkan supaya audit forensik dilakukan terhadap SEB ketika debat dengan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Namun, katanya perkara itu tidak dilaksanakan sekarang dan tiba-tiba RM1.1 bilion boleh disalurkan tanpa ketelusan penuh kepada rakyat.
Menurutnya, pemerhati ekonomi tidak menafikan kepentingan SEB kepada industri minyak dan gas negara, namun, persoalan timbul apabila Anwar yang dahulu lantang mengkritik kerajaan atas tindakan menyelamatkan SEB, kini melakukan perkara yang sama.
“Malah, suntikan dana kali ini jauh lebih besar. Adakah ini bukti bahawa beliau tidak konsisten dalam pendirian?” katanya dalam catatan media sosialnya..
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, walaupun kerajaan mendakwa dana ini digunakan untuk membayar lebih 2,000 vendor tempatan dan menyokong 59,000 pekerja industri minyak dan gas, suntikan modal ini tetap datang dari entiti berkaitan kerajaan bagi menyelamatkan syarikat bermasalah.
“SEB telah lama mengalami tekanan kewangan yang serius dengan hutang mencecah lebih RM10 bilion. Tanpa campur tangan kerajaan, syarikat ini berpotensi gagal membayar pembekal dan pekerja,” katanya.
Katanya, persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa hanya SEB menerima pelaburan ini, sedangkan banyak syarikat perkhidmatan minyak dan gas lain juga menghadapi kesukaran.
“Apakah mekanisme lain seperti penstrukturan semula hutang telah dipertimbangkan sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk campur tangan?” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga menyatakan bahawa suntikan dana ini bukanlah dana hangus kerana ia berbentuk pinjaman yang boleh dibayar balik, namun realiti kewangan SEB membangkitkan persoalan besar tentang kebolehan syarikat untuk menunaikan janji pembayaran semula.
“Jika pelaburan ini benar-benar menguntungkan, mengapa pelabur swasta tidak berminat?” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan minat pelabur swasta menunjukkan tahap risiko yang sangat tinggi, tetapi kerajaan masih memilih untuk menanggung risiko tersebut menggunakan dana awam.
Katanya, Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebelum ini melabur RM2.68 bilion dalam SEB sejak 2018, menjadikannya pemegang saham terbesar dengan pegangan 44.13 peratus, tetapi suntikan dana terbaharu menyebabkan risiko kehilangan dana meningkat dan boleh memberi kesan langsung kepada pemegang unit amanah rakyat Malaysia.
Menurutnya, perbandingan dengan negara lain seperti Singapura dan Korea Selatan dalam kes Sembcorp dan Daewoo Shipbuilding juga tidak tepat.
“Kedua-dua syarikat ini masih mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan menerima sokongan daripada sektor swasta, tidak seperti SEB yang bergelut dengan hutang besar dan ketidakmampuan untuk pulih secara organik,” jelasnya.
Beliau berkata, jika kerajaan benar-benar yakin dengan kebolehupayaan SEB, mengapa tiada audit forensik dilakukan bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan syarikat sebelum sebarang suntikan dana dilaksanakan.
“Walaupun kerajaan mendakwa bahawa SEB telah melalui proses semakan oleh pakar bebas, ini tidak mengubah hakikat bahawa kerajaan masih mengambil risiko besar dengan menyuntik dana ke dalam syarikat ini,” katanya.
Katanya lagi, jika SEB benar-benar berdaya saing, syarikat ini seharusnya mampu menarik pelaburan swasta tanpa perlu campur tangan kerajaan.
“Hakikat bahawa kerajaan perlu masuk campur membuktikan kelemahan daya saing syarikat ini. Kerajaan juga mendakwa bahawa pelaburan ini boleh dibayar balik menerusi opsyen penukaran saham, namun ini hanya berlaku jika harga saham SEB meningkat. Jika harga saham jatuh atau syarikat terus mengalami kerugian, kerajaan berisiko kehilangan pelaburan ini sepenuhnya,” jelasnya.
Menurutnya, ketidakstabilan pasaran minyak dan gas serta rekod kewangan SEB yang lemah menyebabkan kebarangkalian untuk kerajaan mengalami kerugian besar sangat tinggi.
Namun , katanya kerajaan begitu yakin memberikan RM1.1 bilion kepada SEB, tetapi audit forensik yang pernah dicadangkan oleh Anwar sendiri langsung tidak dijalankan.
Sehubungan itu, katanya adakah kerajaan membuat kesimpulan bahawa SEB benar-benar bersih tanpa perlu sebarang siasatan terperinci dan jika benar begitu, di mana ketelusan yang sering dilaungkan kerana jka pelaburan ini bukan bailout, mengapa rakyat masih perlu menanggung risiko ini.
Menurutnya, hakikatnya, tiada apa yang direformasikan, sebaliknya hanya sekadar tukar nama, tukar penjawat, tetapi prinsip tetap sama bahkan lebih teruk. – HARAKAHDAILY 13/3/2025




















