
KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud menerima kunjungan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.
Dalam satu hantaran dalam Facebook katanya, kedua-dua pihak berkongsi perkembangan perkhidmatan bas ekspres diterajui oleh agensi terbabit termasuk Mutiara Rentas Desa (MRD).
Menurut beliau, menjadi komitmen kerajaan negeri untuk menyokong syarikat bas yang menjadi tulang belakang sistem pengangkutan awam darat khususnya di Kelantan.
“Sebagai sebuah negeri yang pesat membangun, kita sentiasa mengambil berat terhadap kepentingan rakyat, termasuk dalam aspek pengangkutan awam yang menjadi keperluan harian.
“Kerajaan negeri menghargai peranan syarikat-syarikat pengangkutan darat, termasuk E-Mutiara menyumbang kepada kemudahan perjalanan dan keselesaan kepada rakyat,” katanya.
Turut hadir pada pertemuan diadakan di Pejabat Menteri Besar iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah.
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini mendedahkan seramai 276,480 orang menggunakan perkhidmatan bas khususnya ekspres Mutiara dalam tempoh 12 bulan.
Malah kerajaan negeri bekerjasama syarikat itu bagi mewujudkan sistem pengangkutan bas henti-henti, MRD mengantikan bas Cityliner, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK).
MRD diperkenalkan pada Februari 2022 membabitkan 27 kenderaan beroperasi di 13 laluan seluruh Kelantan dan syarikat berhasrat untuk mempertingkat lagi perkhidmatan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata pihaknya akan terus menyokong usaha tersebut untuk pastikan sistem pengangkutan awam di Kelantan lebih selamat dan berkesan. – HARAKAHDAILY 22/1/2025




















