
DUNGUN: Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu kini mencapai tahap 90 peratus siap, menjadikannya negeri terpantas dalam pelaksanaan projek ini berbanding tiga negeri lain yang terlibat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkembangan ini menunjukkan komitmen tinggi semua pihak terlibat dalam memastikan projek infrastruktur penting ini berjalan lancar.
“Alhamdulillah, di seluruh negeri Terengganu, projek ini telah mencapai tahap 90 peratus siap dan paling pantas antara empat negeri terlibat,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak TOD ECRL, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan Pejabat Daerah Dungun untuk merangka pembangunan Transit Oriented Development (TOD) di kawasan sekitar stesen tersebut.
“Banyak perkara yang dibincangkan, termasuk potensi pembangunan seperti perumahan, pembangunan komersial dan pusat-pusat lain yang boleh direalisasikan dengan kerjasama pelabur dan agensi kerajaan negeri.
“Setakat ini, pembinaan stesen di Dungun telah mencapai tahap 58 peratus siap dan berjalan mengikut jadual,” katanya yang hadir sempena Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di daerah ini, hari ini.
Beliau juga menekankan keperluan untuk menyediakan infrastruktur asas yang lebih baik bagi menarik minat pelabur untuk membangunkan kawasan tersebut.
“Antara cabaran utama adalah kedudukan infrastruktur yang perlu disiapkan bagi memudahkan pelabur menjalankan pembangunan di sini.
“Saya telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Pegawai Kewangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk merangka strategi mempercepatkan penyediaan infrastruktur.
“Ini juga akan melibatkan perbincangan dengan pihak Kerajaan Persekutuan nanti insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, kata Samsuri, pihaknya turut menghadapi beberapa cabaran termasuk risiko banjir di kawasan pembinaan.
“Kawasan ini berada pada paras 8 hingga 9 meter di atas paras laut, yang memerlukan penambakan tanah bagi mengelakkan risiko banjir.
“Koordinasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) amat penting untuk memastikan jalan masuk dan kawasan pembinaan pembangunan dapat meminimakan kesan banjir,” ujarnya.
Tambahnya, anggaran kos infrastruktur bagi pembangunan TOD di Dungun adalah sekitar RM60 juta, termasuk pengambilan tanah, pembinaan jalan raya dan penambakan.
“Jadi apabila pelabur masuk kawasan-kawasan yang telah diselesaikan itu dari segi kos itu boleh di kongsi dengan pelabur. Jadi itu boleh runding bagaimana,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2025





















