104 terima PPR fasa pertama di Gual Ipoh

- Advertisement -

TANAH MERAH: Seramai 104 penerima Fasa 1 Program Perumahan Rakyat (PPR) Gual Ipoh, dekat sini menerima surat tawaran masing-masing.

- Advertisement -

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu, petang semalam.

Projek PPR Gual Ipoh yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM80 juta ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Hilmi Abdullah berkata, ia melibatkan pembinaan 400 unit rumah kluster setingkat, termasuk empat unit direka khas untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Jelasnya, projek ini siap sepenuhnya pada 14 April 2021 di atas tanah seluas 15.47 hektar dan dilengkapi dengan kemudahan seperti surau, tadika, dan lima unit gerai.

“Ia dilengkapi dengan kemudahan seperti surau, tadika, dan lima unit gerai,” katanya lagi.

Hilmi menambah, majlis cabutan undi dan penyerahan kunci dijangka berlangsung pada 13 Februari 2025, manakala skim sewaan Rent-to-Own (RTO) akan bermula pada 1 Mac 2025.

Majlis ini turut dihadiri ADUN Gual Ipoh, Bahari Mohamad Nor dan ADUN Kota Lama, Dr Hafizah Mustakim serta Ketua Jajahan Tanah Merah, Adlee Yasin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri serta Persekutuan.

Aiman Athirah ketika berucap pada majlis itu menasihati para penerima supaya menghargai rumah diterima dengan membayar sewa bulanan secara teratur, menjaga kebersihan kawasan, dan membina komuniti kejiranan yang harmoni.

“PPR ini bukan sahaja tempat tinggal tetapi juga ruang untuk membina kehidupan lebih sejahtera bersama keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap usaha ini dapat menjadi contoh kepada projek perumahan lain dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 21/1/2025

- Advertisement -