Razali lapor polis, tangkis tuduhan fitnah pukul OKU

Razali Idris (baju merah putih) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, hari ini.
- Advertisement -

KEMAMAN: ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar dirinya yang dikaitkan dengan insiden pukul seorang individu kelainan upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, di sini Jumaat lalu.

- Advertisement -

Menurut Razali, tindakan tersebut dibuat bagi menafikan tuduhan fitnah yang mencemarkan imej beliau sebagai wakil rakyat dan Exco negeri. 

“Penyebaran gambar saya secara berulang kali beserta komen-komen negatif telah mencemarkan imej saya sebagai wakil rakyat, malah lebih penting lagi, menjejaskan imej rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu.

“Jadi saya mengambil kesempatan ini (laporan polis) supaya tidak ada lagi sesiapa yang cuba untuk memfitnahkan sesiapa,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun gambar tular adalah miliknya, individu yang terlibat dalam kejadian tersebut telah ditahan polis dan tiada kaitan langsung dengan dirinya. 

“Gambar yang tular itu memang gambar saya, tetapi individu yang melakukan perbuatan memukul tersebut bukan saya. Individu terbabit telahpun ditahan oleh pihak polis.

“Difahamkan, si pemukul itu memakai baju merah dan mungkin disebabkan warna merah itu, ia cuba dikaitkan dengan saya sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu. Gambar saya pula yang memakai baju hijau diambil semasa program parti sewaktu pilihan raya sebagai calon PAS di Negeri Terengganu.

“Jadi nampak banyak segmen yang dia nak kaitkan dengan saya, sebahagiannya nak lagakan saya dengan pimpinan. Macam-macam orang politik ini, dia banyak ramalan dan saya pun banyak ramalan.

“Jadi justeru itu kita ambil kesempatan untuk lapor polis supaya polis siasat dan kita akan serah kepada peguam kita dan akan disusuli dengan saman,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri turut meluahkan rasa bimbang terhadap komen yang ditinggalkan di media sosial mendakwa Terengganu tidak lagi selamat untuk dikunjungi. 

“Semalam, saya perhatikan banyak kritikan yang tular dan kebanyakannya tertumpu kepada seruan supaya orang ramai tidak datang ke Terengganu.

“Untuk makluman, pada tahun 2024, kehadiran pelancong di Terengganu mencatatkan angka melebihi 7 juta. Namun, jika isu fitnah ini tidak ditangani dengan segera, saya bimbang ia akan menyebabkan penurunan jumlah pelancong pada tahun 2025. Akibatnya, pendapatan rakyat Terengganu juga akan terjejas.

“Ini merupakan satu fitnah yang sangat berniat jahat terutamanya kepada rakyat Terengganu,” katanya.

Menerusi laporan yang dibuat, Razali turut menyebut beberapa laman sosial yang menjadi punca penyebaran fitnah, termasuk ‘Raja Mohd Shahrim I’ dan beberapa laman lain.

Malah, katanya, hantaran itu turut mendapat perhatian dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar mengelakkan fitnah dalam berpolitik dan fokus kepada membangunkan negeri. 

“Harapan saya, kita nak buat kepsyen kita boleh buat, kita nak berpolitik kita boleh politik tapi kita jangan fitnah.

“Jadi kita elakkan daripada fitnah sebab saya yakin Negeri Terengganu masih lagi negeri cantik budaya menarik dan orangnya pun baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2025

- Advertisement -