
GAZA: Tiga tebusan wanita yang dibebaskan oleh HAMAS kelmarin menerima ‘beg hadiah’ istimewa daripada kumpulan pejuang Palestin itu ketika mereka diserahkan kepada pihak Israel, lapor laman berita The New Arab.
HAMAS mengeluarkan rakaman video menunjukkan tiga tebusan tersebut iaitu Doron Steinbrecher, Emily Damari dan Romi Gonen masing-masing membawa beg kertas mengandungi barangan ‘kenang-kenangan’ semasa mereka ditahan di Gaza.
Ketiga-tiga tebusan itu tersenyum dan sempat bergurau dengan pejuang HAMAS yang menyerahkan hadiah beg dihiasi logo Briged Al-Qassam iaitu merupakan sayap bersenjata HAMAS.
Rakaman sama menunjukkan sekurang-kurangnya satu item di dalam beg itu adalah sijil khas dengan logo Briged Al-Qassam bertajuk ‘Perjanjian Pembebasan’ dalam bahasa Ibrani dan Arab.
Beg tersebut dikatakan turut menyimpan gambar tebusan semasa mereka dalam tahanan, peta Semenanjung Gaza dan rantai mempunyai lambang bendera Palestin.
Pengguna media sosial pula membezakan keadaan dan gelagat tebusan Israel yang sihat dan gembira, berbanding kedaifan tahanan Palestin yang dibebaskan.
Kebanyakan tahanan Palestin menunjukkan tanda-tanda pengabaian dan penganiayaan.
Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan HAMAS di Gaza berkuat kuasa pada Ahad selepas kelewatan hampir tiga jam, menghentikan peperangan yang telah berlangsung selama 15 bulan, membawa kemusnahan dan perubahan politik besar di Asia Barat. – HARAKAHDAILY 21/1/2025











