Nat Pokok Getah kini jadi tarikan utama

Pak Ngah Mahmud bersama koleksi syiling lama yang dijual di Nat Pokok Getah.
- Advertisement -

ARAU: Inisiatif kerajaan negeri Perlis dalam membangunkan sektor pelancongan terus mendapat pujian, terutama melalui usaha mempromosikan destinasi-destinasi unik seperti Nat Pokok Getah.

- Advertisement -

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi tempatan tetapi turut menjadikan Perlis lebih menarik kepada pelancong luar.

Nat Pokok Getah kini menjadi tarikan utama, dengan suasana kampung yang memikat serta barangan pada harga berpatutan.

Harakahdaily berkesempatan menemui anggota rombongan pelancong dari Kota Damansara yang melawat beberapa destinasi menarik di negeri ini, baru-baru ini.

Robiah Hashim, 64, memuji usaha kerajaan negeri dan suasana unik di nat tersebut.

“Harganya murah dan tempatnya unik. Penduduk di sini ramah dan suasana kampungnya menyenangkan.

“Inisiatif kerajaan menaikkan destinasi pelancongan seperti ini memang bagus,” katanya.

Rombongan itu menghabiskan masa tiga hari dua malam termasuk melawat Kuala Perlis, Kampung Warna-Warni, Tasik Timah Tasoh dan Nat Pokok Getah.

Menurut Haslena Ismail, 61, pengalaman melawat negeri ini sangat memuaskan, terutama ketika bersarapan di Warung Tepi Sawah dan menikmati pemandangan Wang Kelian.

“Pada Jumaat, kami sampai terus ke Kuala Perlis. Makan-makan di situ memang sedap.

“Kami juga sempat bersarapan di Warung Tepi Sawah. Perjalanan ini sangat berbaloi dan mengujakan,” katanya.

Nat Pokok Getah simbol perpaduan dan ekonomi kampung

Nat Pokok Getah bukan sekadar pasar tetapi juga simbol keharmonian masyarakat kampung.

Interaksi mesra antara peniaga dan pembeli menggambarkan perpaduan komuniti tempatan.

“Perniagaan kecil-kecilan seperti ini sangat penting untuk ekonomi kampung dan memberi inspirasi kepada generasi muda,” kata Mahmud Yaakob, 70, atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

Pesara komando dari Kuala Kedah itu menjual koleksi syiling lama yang dikumpulnya selama lebih 20 tahun.

Nazlia Mohd Hassan, 36, seorang peniaga tuala dari Kepala Batas, Pulau Pinang, turut mengakui lokasi itu sangat menguntungkan.

“Alhamdulillah, memang berbaloi berniaga di sini sebab pengunjung ramai. Saya juga suka suasana di sini yang santai dan penuh keharmonian,” katanya.

Pak Ku Halim Ku Hamid, 68, peniaga barangan berkebun, menyifatkan permintaan di nat itu sentiasa stabil.

“Nat ini memang laku (laris) sebab ramai yang mencari barang-barang berkebun. Alhamdulillah, saya boleh dapat sehingga RM1,000 sehari,” katanya dengan senyuman.

Koleksi syiling lama jadi tarikan

Gerai Pak Ngah Mahmud yang menjual koleksi syiling lama turut menarik perhatian ramai.

Beliau turut berkongsi pengalaman berniaga di situ.

“Saya bergerak dari rumah selepas subuh. Alhamdulillah, sewa RM10 sehari di sini sangat berbaloi.

“Pengumpul syiling lama sering datang menunggu saya untuk membeli koleksi yang mereka cari.

“Pernah sekali, saya dapat RM3,000 pada hari Ahad. Itu antara hari paling sibuk,” katanya.

Menurut Pak Ngah, berniaga di Nat Pokok Getah bukan sahaja memberi pendapatan tambahan tetapi juga peluang untuk berkongsi cerita dan nostalgia.

“Ia bukan sekadar perniagaan, tetapi juga cara untuk menyambung cerita lama,” katanya.

Usaha negeri tingkat sektor pelancongan

Nat Pokok Getah dan destinasi lain di Perlis terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Dengan promosi dan sokongan padu kerajaan negeri, destinasi-destinasi itu kini menarik lebih ramai pengunjung dari pelbagai negeri.

Langkah kerajaan negeri memperkenalkan lokasi unik dan memperbaiki infrastruktur pelancongan wajar diteruskan untuk menjadikan Perlis sebagai destinasi pelancongan unggul di Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -