
KUALA SELANGOR: Enam pemilik kebun kecil kelapa sawit di estet Kampung Bukit Badong mengalami kerugian besar akibat banjir termenung yang berlaku sejak tiga bulan lalu.
ADUN Ijok, Jefri Mejan berkata, masalah itu dipercayai berpunca daripada pembinaan pembetung yang tidak mengikut spesifikasi bagi Projek Pemasangan Paip Air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1).
“Laluan air parit kebun tertutup dengan binaan itu. Natijah daripada banjir termenung ini pekebun-pekebun kecil kelapa sawit telah mengalami kerugian di mana pengeluarannya sangat berkurangan.
“Selain itu, proses pembajaan juga tidak dapat berfungsi dengan baik kerana dihanyutkan air,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu telah berlarutan hampir tiga bulan tanpa penyelesaian konkrit, meskipun aduan telah dibuat kepada pihak berkaitan.
“Atas pemerhatian saya, pihak kontraktor seharusnya mengkaji keadaan sekeliling dahulu sebelum pembinaan pembetungan tersebut.
“Oleh demikian, saya akan panjangkan aduan ini kepada Air Selangor untuk tindakkan selanjutnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025











