Kelantan serius selesai konflik manusia, haiwan liar

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah dilantik mengetuai jawatankuasa ditubuhkan menangani konflik manusia dan haiwan liar.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan yang mengumumkan perkara itu berkata, apatah lagi Hilmi juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sentiasa cakna masalah tersebut yang akan menjejaskan biodiversiti alam.

“Dalam menyelesaikan konflik manusia dan haiwan liar ini kita ada membentuk jawatankuasa dan dipengerusikan exco Hilmi Abdullah, dia Exco Alam Sekitar dia pengerusikan jawatankuasa ini.

“Maknanya ini adalah langkah kita untuk penjagaan hidupan liar di negeri ini dan benda ini sudah diputuskan dalam mesyuarat exco,” katanya di MABNA MBI di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu menambah, bagi mencapai hasrat tersebut kerajaan negeri membangunkan Tabung Pemuliharaan Haiwan-haiwan Liar.

Beliau berkata, ia membabitkan pihak berkepentingan seperti syarikat perladangan dan kelulusan kerajaan bagi melaksanakan pembangunan hutan tanpa menjejaskan haiwan liar.

Beliau berkata menerusi tabung itu pihak berkuasa mampu membuat perancangan antaranya mewujudkan koridor gajah di lokasi yang dikenali pasti seperti di Kuala Balah, Jeli.

Malah kata beliau kerja pemindahan haiwan liar termasuk gajah, memerlukan kos yang sangat besar kira-kira RM50,000, dilaksanakan sepenuhnya menerusi tabung itu.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri berhasrat menubuhkan sebuah jawatankuasa dan tabung mengekang perselisihan antara manusia dan alam sekitar sering berlaku kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -