Keluarga DiRaja Johor prihatin nasib mangsa banjir

- Advertisement -

KOTA TINGGI: Keprihatinan Keluarga DiRaja Johor terhadap nasib mangsa banjir terus menjadi lambang kasih sayang yang tidak pernah luntur.

- Advertisement -

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta anakanda melawat mangsa-mangsa bencana bukanlah suatu yang asing lagi bagi rakyat Johor.

“Keberangkatan Keluarga DiRaja Johor ke tempat bencana tanpa protokol ketat sememangnya menjadi kebiasaan sekiranya berlakunya banjir walaupun di kawasan pedalaman.

“Baginda akan berangkat melawat walaupun terpaksa mengharungi banjir menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bot mahupun helikopter milik peribadi,” umum kenyataan di media sosial rasmi, tadi.

Baginda bersama keluarga meluangkan masa menyantuni rakyat serta memastikan semua kelengkapan bantuan disediakan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

Sumbangan yang dikurniakan bukan sahaja tertumpu kepada mangsa banjir malah turut disalurkan kepada pihak yang menguruskan bencana.

Terdahulu, baginda berkenan melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi menempatkan mangsa-mangsa banjir bagi daerah Kota Tinggi.

Antara PPS yang dilawati baginda melibatkan PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota dan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi.

Difahamkan, PPS SJKC New Kota dan SRAB menempatkan kira-kira 390 mangsa banjir daripada 106 keluarga. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -