Longgarkan syarat bantuan pendidikan anak perantau

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Terengganu telah mengadakan kelonggaran dalam pemberian bantuan pendidikan kepada anak-anak perantau yang ibu bapa mereka berasal dari negeri itu. 

- Advertisement -

Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bantuan itu disediakan menerusi Yayasan Terengganu (YT) serta agensi lain, dengan syarat ibu atau bapa berasal dari Terengganu dan berdaftar sebagai pengundi di negeri tersebut. 

“Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan beberapa agensi lain ada menawarkan pelbagai kemudahan untuk pendidikan dalam bentuk pinjaman dan biasiswa berdasarkan beberapa kelayakan.

“Walaupun lahir di negeri lain, anak-anak ini layak memperolehi bantuan ini sekiranya ibu atau bapanya berasal dari Terengganu dan mengundi di sana.

“Jadi, nasihat saya sekiranya ibu dan bapa berasal dari Terengganu, maka pasti salah seorang atau kedua-duanya mengundi di Terengganu untuk mengekalkan kelayakan asas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi jawapan dalam sesi dialog di Program Temu Mata Anak-anak Terengganu di Perantauan di sini semalam.

Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional merangkap ADUN Ladang, Zuraida Md Noor serta Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa. 

Selain bantuan pendidikan, kata beliau, kerajaan negeri turut menawarkan pelbagai insentif kepada anak-anak negeri yang berada di luar kawasan.

Ini, katanya, termasuk pembiayaan kepada usahawan kelahiran Terengganu yang menjalankan perniagaan di negeri lain. 

Sebagai rekod, kerajaan Terengganu juga pernah menghulurkan bantuan kepada anak-anak negeri yang terjejas akibat bencana banjir di Lembah Klang beberapa tahun lalu sebagai langkah meringankan beban mereka. – HARAKAHDAILY 13/1/2025

- Advertisement -