
KOTA BHARU: Seramai 119 pelajar Sekolah Menengah Rendah Islam di Kemboja kini sedang menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) tahun 2024/2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, peperiksaan tersebut mula dilaksanakan sejak 2001.
Beliau berkata, Yayasan Islam Kelantan (YIK) bekerjasama dengan Majlis Tertinggi Pimpinan Islam Kemboja bagi memperkenalkan SMU kepada pelajar menengah rendah di negara itu.
“Pada tahun ini, seramai 119 pelajar sekarang sedang menduduki peperiksaan SMU di Kemboja, bahkan ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan kita semua.
“Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengilhamkan kerjasama pendidikan antara Kelantan dan Kemboja sejak 2001,” katanya dalam satu hantaran Facebook semalam.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor turut membuat kunjungan Mufti Kemboja, Oknha Kamaruddin Yusoff di Pejabat Majlis Tertinggi Pimpinan Islam.
Pertemuan dihadiri Timbalan Pengarah YIK, Ustaz Sukeri Husin serta Penolong Pengarah Penilaian dan Peperiksaan YIK, Anuar Rasid, berkisar usaha memperkukuhkan usaha tersebut.
Majlis itu turut membincangkan masa depan pendidikan bagi memanfaatkan umat Islam khususnya bagi membantu pelajar dari kalangan fakir miskin yang sedang menduduki peperiksaan SMU.
Media sebelum ini melaporkan silibus pendidikan agama Islam dibangunkan oleh YIK telah dilaksanakan di 11 sekolah di luar Kelantan dan dua sekolah di luar negara iaitu Kemboja.
Membabitkan lima Selangor, tiga Terengganu, dua Johor dan satu Melaka dan peperiksaan itu dikendali Lembaga Peperiksaan YIK serta Bahagian Penilaian dan Peperiksaan YIK. – HARAKAHDAILY 13/1/2025











