
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menyangkal dakwaan bahawa PAS membela kemungkaran berhubung Titah Adendum terhadap mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.
Jelas beliau, solidariti yang diberikan parti itu kepada Najib sebaliknya adalah untuk menjunjung Perlembagaan dan titah daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Kita tak nak peduli Najib atau sesiapa sahaja, kita tak peduli. Sekarang ini kita sedang bawa semua sama ada rakyat atau pemerintah supaya menjunjung Perlembagaan Malaysia.
“Najib, dia dah didapati bersalah dan kita sudah setuju dia telah dihukum. Lembaga Pengampunan kalau nak mengampunkan, dia (Najib) kena salah dulu. Kalau tak salah nak ampun macam mana?
“Najib dah dijatuhi hukuman, sudah dibicara. Tapi tuduh PAS nak bela kemungkaran? Mengajilah bagi habis. Kalau nak tipu rakyat pun, janganlah tipu sampai macam itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program ‘Ceramah Selamatkan Malaysia’ yang diadakan di Markas PAS Kawasan Lembah Pantai, di sini malam kelmarin.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya; Yang Dipertua PAS Kawasan Lembah Pantai, Fauzi Abu Bakar; Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Wilayah Persekutuan, Dr Subash Chandrabose; Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa.
Tambah Awang, tindakan menyembunyikan titah berkenaan selama hampir 11 bulan menunjukkan pihak kerajaan lemah dan gagal dalam soal tatakelola.
“Kenapa selepas 11 bulan baru bocor, baru mengaku kata ada? Kalau ikut prosedur, ini yang dikatakan kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) sangat lemah dan gagal dalam soal tatakelola.
“Mereka ini menunggang reformasi yang mereka laung-laungkan. Mereka tuduh orang menunggang agama dan sebagainya, akhirnya mereka menunggang reformasi yang mereka laung-laungkan untuk buat perubahan drastik, tapi satu apa pun tak buat lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2025











