Perluaskan FIESTA 1.0 `Kita Kan Kawan’ ke negeri, kawasan

Dato' Dr Ab Halim Tamuri
- Advertisement -

KLANG: Program FIESTA 1.0 `Kita Kan Kawan’ yang dianjurkan buat kali pertama oleh Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat, perlu disusuli di peringkat negeri dan kawasan bagi memastikan matlamat memupuk perpaduan dan kesejahteraan negara dapat dicapai.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri, memuji inisiatif LPN sebagai langkah penting ke arah membina perpaduan nasional yang kukuh.

- Advertisement -

Katanya, FIESTA 1.0 `Kita Kan Kawan’ berjaya mencipta suasana harmoni dan menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memperkukuh hubungan antara kaum.

“Alhamdulillah, program ini sangat menarik kerana tujuan utama adalah untuk sama-sama mengenal antara satu sama lain dalam merapatkan hubungan antara kaum,” katanya ketika program yang diadakan di Dewan Serbaguna Dato’ Ahmad Razali di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras berkata, FIESTA 1.0 relevan dalam konteks Selangor dan Malaysia secara am dengan hidup bersatu padu dan saling memahami antara kaum serta agama adalah keperluan asas untuk mewujudkan keamanan dan kesejahteraan negara.

“Sebagaimana slogan `PAS For All’, kita sentiasa menjamin kesejahteraan semua pihak dan hak masing-masing bagi memastikan kehidupan yang harmoni dan lancar.

“Program begini amat bermakna kepada kita yang merupakan permulaan langkah untuk saling kenal mengenal melalui cara yang paling mudah, iaitu melalui makanan, memahami budaya dan cara hidup,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Pengerusi LPN PAS Pusat, Dr Halimah Ali serta pihak urus setia atas kejayaan program yang telah dirancang selama lebih empat bulan dan berjalan lancar dengan penyertaan tetamu dari luar Selangor. – HARAKAHDAILY 12/1/2025

- Advertisement -